KUALA LUMPUR – Permohonan kemasukan ke program Ijazah Sarjana Muda Politeknik dibuka mulai 4 Jun lalu.
Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dalam kenyataannya berkata, permohonan boleh dibuat melalui pautan http://ambilan.mypolycc.edu.my mulai 4 Jun 2025 hingga 4 Julai 2025.
Tambahnya, pembelian nombor PIN tidak diperlukan.
Katanya, program ijazah sarjana muda itu ditawarkan di empat buah Politeknik iaitu Politeknik Ungku Omar, Ipoh, Perak; Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor; Politeknik Ibrahim Sultan, Pasir Gudang, Johor; dan Politeknik Sultan Azlan Shah, Tanjong Malim, Perak.
“Pelawaan tawaran dibuka kepada Lepasan Diploma/Diploma Lanjutan Politeknik. Pelajar semester akhir Diploma Politeknik (Sesi II: 2024/2025 tamat latihan industri) juga layak memohon,” kata kenyataan itu.
Tambahnya, sebanyak 12 program ijazah sarjana muda yang melibatkan 10 program sedia ada dan dua program baharu ditawarkan bagi sesi Akademik I 2025/2026.
Senarai program tersebut adalah seperti berikut:
- Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Awam dengan Kepujian
- Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pembuatan (Pengurusan Rangkaian Bekalan) dengan Kepujian
- Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektrik dengan Kepujian
- Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Marin dengan Kepujian
- Ijazah Sarjana Muda Teknologi Senibina dengan Kepujian
- Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pembuatan (Rekabentuk Automotif) dengan Kepujian
- Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektronik Perubatan dengan Kepujian
- Ijazah Sarjana Muda Teknologi Pengurusan Fasiliti dengan Kepujian
- Ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk Media Baharu dengan Kepujian
- Ijazah Sarjana Muda Sains Pengurusan Pelancongan dan Hospitaliti dengan Kepujian – PIS
Program baharu:
- Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Komputer dengan Kepujian
- Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dengan Kepujian.
Dalam pada itu, JPPKK turut mempelawa calon-calon daripada lepasan berikut untuk membuat permohonan:
- Lepasan Diploma Kolej Pelajar semester akhir Diploma Kolej Komuniti (Sesi II: 2024/2025 tamat latihan industri) juga layak memohon
- Lepasan program Asasi TVET Politeknik
- Lepasan program Asasi Sains/ Sains Fizikal/ Kejuruteraan daripada Universiti Awam
- Lepasan Kolej Matrikulasi KPM jurusan Sains/ Kejuruteraan
- Lepasan Diploma Kejuruteraan/ Teknologi Kejuruteraan/ Teknologi daripada IPTA/ IPTS
- Lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) / Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM)
- Pemilik Sijil A T-6.
Permohonan bagi lepasan Diploma Kejuruteraan / Teknologi Kejuruteraan / Teknologi daripada IPTA / IPTS, lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) / Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan pemilik Sijil Apel.A T-6 boleh dibuat mulai 11 Jun 2025 jam 5.00 petang sehingga 4 Julai 2025 jam 12.00 tengah hari.
Maklumat lanjut berkenaan senarai program, kaedah permohonan dan syarat kelayakan boleh diperoleh dengan melayari pautan http://ambilan.mypolycc.edu.my.
-MalaysiaGazette
















