Peguam, Datuk Seri K. Rajasegaran bercakap pada sidang media diperkarangan Mahkamah berikutan Keputusan sama ada Datuk Seri Anwar Ibrahim dibenar merujuk lapan persoalan undang-undang berkaitan isu kekebalan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 4 JUN 2025.(GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan beliau untuk merujuk lapan persoalan undang-undang berhubung isu kekebalan daripada tindakan saman terhadapnya.

Datuk Seri K. Rajasegaran yang mewakili Perdana Menteri memberitahu, notis rayuan tersebut akan difailkan hari ini.

Ujar beliau, pihaknya tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi atas alasan ia akan menjejaskan fungsi eksekutif Anwar selaku Perdana Menteri.

Kata Rajasegaran, persoalan undang-undang yang dibangkitkan menyentuh isu yang melangkaui fakta kes di hadapan mahkamah kerana ia turut melibatkan keterbatasan proses undang-undang dan maruah pegawai tinggi kerajaan.

“Kami turut akan memfailkan sijil perakuan segera bagi membolehkan rayuan di Mahkamah Rayuan, dipercepatkan,” ujar beliau ketika ditemui wakil media selepas prosiding tersebut.

Peguam Datuk Seri K. Rajasegaran mengedarkan kenyataan media selepas prosiding di Mahkamah Tinggi hari ini.

Ujarnya, lapan persoalan itu bukan bersifat abstrak atau akademik kerana ia melibatkan isu perlembagaan yang serius dan belum diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

Menurut Rajasegaran, isu yang dibangkitkan melibatkan implikasi perlembagaan yang luas dan perlu dimuktamadkan oleh mahkamah tertinggi negara.

Terdahulu, Hakim Roz Mawar Rozain menolak permohonan Anwar untuk merujuk lapan persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan bagi menentukan isu kekebalan daripada tindakan saman yang difailkan bekas penyelidiknya, Muhammad Yusoff Rawther.

Hakim Roz Mawar turut memerintahkan perbicaraan yang dijadualkan bulan ini selama tujuh hari iaitu pada 16 hingga 19 Jun dan 23 hingga 25 Jun, dimulakan pendengarannya.

Ujar Rajasegaran, pihaknya turut akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan lisan Anwar untuk menangguhkan perbicaraan yang ditetapkan pada 16 Jun ini.

Dua minggu lalu, Anwar memfailkan agar mahkamah tertinggi negara memutuskan sama ada Perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan memberi beliau kekebalan bersyarat daripada saman berkenaan.

Perdana Menteri turut memohon agar mahkamah mempertimbangkan sama ada saman tersebut menjejaskan keupayaannya menjalankan tugas eksekutif serta melemahkan prinsip pengasingan kuasa yang dijamin oleh Perlembagaan.

Muhammad Yusoff memfailkan saman terhadap Anwar pada 2021 selepas mendakwa diserang secara seksual di kediaman Presiden PKR itu di Segambut pada Oktober 2018.

Dalam saman yang difailkannya, bekas penyelidik itu mendakwa, kejadian tersebut berlaku pada 2018, sebelum Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri pada 24 November 2022. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Kalau Anwar boleh kebal..maknanya semua pegawai kerajaan dan menteri2 juga patutnya kebal dari segi undang2 jenayah..seronoklah…tak.kan Anwar jaa sorang2

Comments are closed.