SEBERANG PERAI – Sebanyak 100 ekor lembu korban ditawarkan pada harga serendah RM2,800 seekor atau RM399 bagi satu bahagian menerusi inisiatif Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) di kawasan Parlimen Permatang Pauh.
Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, program khas sempena sambutan Hari Raya Aidiladha itu bertujuan meringankan beban rakyat, khususnya golongan kurang berkemampuan agar dapat melaksanakan ibadah korban dengan lebih mudah dan mampu milik.
Jelasnya, lembu-lembu korban tersebut diperoleh secara pukal melalui kerjasama Pertubuhan Peladang Negeri Johor dan Johor Plantations Group Berhad.
“Pelaksanaan program itu secara pukal membolehkan harga lembu dikurangkan hampir separuh berbanding harga pasaran biasa.
“Saya ambil contoh Masjid Kubang Ulu yang membeli 17 ekor lembu. Jika harga biasa mencecah RM95,000, tetapi menerusi inisiatif ini mereka hanya membayar RM47,000 sahaja dan ini jelas menunjukkan penjimatan hampir separuh,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Agihan Perdana 100 Ekor Lembu Korban Termurah Parlimen Permatang Pauh di Tapak Pasar Malam Taman Arowana di sini hari ini.
Sebanyak 40 kawasan termasuk masjid, surau, pusat tahfiz, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta agensi kerajaan di sekitar Parlimen Permatang Pauh telah menerima agihan lembu korban melalui program ini.
Tambah beliau, program yang dimulakan di Permatang Pauh ini harap dapat diperluaskan ke seluruh negara pada tahun hadapan bagi membolehkan lebih ramai rakyat menyertai ibadah korban dengan harga lebih berpatutan. – MalaysiaGazette















