Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan menyampaikan Surat Setuju Terima (SST) kepada wakil kontraktor ketika hadir pada majlis penyerahan Surat Setuju Terima (SST) Perdana bagi projek menangani isu sekolah berkepadatan tinggi di Kompleks Ibu Pejabat JKR Selangor, Shah Alam. Foto HARI ANGGARA, 5 JUN 2025.

SHAH ALAM – Sebanyak 127 Surat Setuju Terima (SST) diserahkan kepada kontraktor yang berjaya mendapatkan  projek naik taraf sekolah berkepadatan tinggi di enam buah negeri.

Selangor merupakan negeri yang menerima surat SST tertinggi dengan 111 bilangan kerja diikuti tujuh di Perak, empat di Pahang, tiga di Negeri Sembilan dan masing-masing satu di Terengganu dan Pulau Pinang.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, jumlah kos keseluruhan adalah RM88 juta.

“Anggaran kos bagi sebuah sekolah dalam lingkungan RM1 hingga RM2 juta mengikut bilangan bilik darjah, bilik khas pendidikan khas misalnya dengan laluan berbumbung.

“Kaedah yang digunakan adalah berkonsepkan Industrialized Building System (IBS) dan ketahanan saya harap sehingga 15 tahun,” katanya ketika sidang media di Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor hari ini.

Jelas Ahmad, dijangkakan projek pembinaan  akan selesai pada Oktober tahun ini.

“Tapi kalau untuk hanya satu bilik darjah, saya harap pembinaannya kurang daripada tiga bulan yang tiga bulan untuk bilik darjah paling banyak iaitu enam.

“Kalau boleh kita tidak mahu ada penambahan masa,” tambahnya.

Sebagai rekod, pelaksanaan projek tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan mengutamakan projek rakyat terutama meningkatkan kualiti pembelajaran dan pendidikan di samping mewujudkan ekosistem pendidikan yang kondusif.

Di masa yang sama, ia bertujuan menangani isu sekolah yang mempunyai kepadatan pelajar tinggi, yang memerlukan penambahan dan pembaikan infrastruktur pendidikan.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast