Operasi BAS.MY Kota Setar mula beroperasi pada 1 Jun 2025. foto FB Kedah Kini

KUALA LUMPUR – Sebanyak 13 laluan bas berhenti-henti di bawah jenama BAS.MY Kota Setar telah mula beroperasi secara berperingkat mulai 1 Jun 2025, menerusi Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SBST) di negeri Kedah.

Pelaksanaan program ini adalah satu inisiatif di bawah Belanjawan 2024 Kerajaan Persekutuan dengan peruntukan berjumlah RM80 juta bagi tempoh perkhidmatan selama lima tahun atau bersamaan RM16 juta setahun.

Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan mutu perkhidmatan bas berhenti-henti di Alor Setar, serta bandar-bandar lain termasuk Sungai Petani, Jitra, Kuala Kedah, Kuala Nerang dan Pendang.

Kekerapan perkhidmatan BAS.MY Kota Setar adalah setiap 30 minit bagi laluan dalam bandar, manakala antara 60 hingga 90 minit bagi laluan rentas daerah.

Laluan-laluan BAS.MY Kota Setar telah dirancang untuk menghubungkan tempat-tempat tumpuan di sekitar Alor Setar seperti Hospital Sultanah Bahiyah, Pekan Rabu, Stadium Darul Aman, UTC Kedah, institusi-institusi pengajian tinggi seperti UiTM Merbok, POLIMAS, serta hab-hab pengangkutan seperti KTM Alor Setar, KTM Sungai Petani, Terminal Shahab Perdana, Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, dan Jeti Kuala Kedah. Selain itu, ia juga menghubungkan Pantai Merdeka dengan Sungai Petani bagi memudahkan orang ramai beriadah di hujung minggu.

Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) selaku agensi pelaksana Program SBST di negeri Kedah, telah melantik Gopi Travel Tours Sdn. Bhd. sebagai pengendali rangkaian perkhidmatan bas di bawah program ini melalui proses tender terbuka.

Gopi Travel Tours Sdn. Bhd. berpengalaman dalam menyediakan perkhidmatan bas behenti-henti di bawah program SBST di Seremban.

Program SBST bertujuan menambah baik mutu perkhidmatan bas berhenti-henti sedia ada agar menjadi lebih efisien, diyakini dan mapan, dengan mengambil kira keseimbangan antara laluan berpermintaan tinggi dan laluan sosial, kekerapan perkhidmatan, kos operasi yang optimum, serta penggunaan 48 buah bas baharu jenis midi dan mini low floor yang lebih kondusif.

Bas-bas baharu ini bersifat low floor yang memudahkan penumpang untuk naik dan turun serta mesra OKU.

Inisiatif ini turut merangkumi penggunaan teknologi terkini bagi memudahkan urusan pengguna seperti pembayaran tanpa tunai serta dilengkapi dengan kamera litar tertutup(CCTV) bagi menjamin keselamatan pengguna.

Bagi memudahkan orang ramai menggunakan perkhidmatan BAS.MY Kota Setar, pihak kerajaan telah memperkenalkan inisiatif tambang percuma kepada golongan warga emas, OKU, pelajar sekolah, dan mahasiswa di universiti, politeknik, kolej komuniti dan matrikulasi melalui Kad Konsesi BAS.MY.

Selain itu, Kad 30 Hari BAS.MY, turut diperkenalkan dan pengguna yang berdaftar dengan inisiatif ini boleh menggunakan perkhidmatan BAS.MY Kota Setar tanpa had selama 30 hari dengan bayaran sebanyak RM50 bagi tempoh 30 hari. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast