KUALA LUMPUR – Seramai 13 orang warga asing yang dipercayai ejen homestay ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam operasi khas sekitar Jalan Ipoh dan Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, 3 Jun lalu.
Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Imigresen Ismail Mokhtar berkata, kesemua mereka yang berumur 24 hingga 40 tahun itu dipercayai menjalankan aktiviti itu dengan menyewa kediaman berkenaan terlebih dahulu daripada pemilik warga tempatan.
Dalam serbuan ini, didapati tiga lelaki dan seorang wanita Bangladesh, satu lelaki Indonesia dan seorang wanita India memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) di bawah Sektor Pembinaan dan Sektor Pembersihan.
Manakala warga asing lain tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini.
Pasukan operasi telah menyita salinan perjanjian penyewaan, empat pasport Bangladesh, satu pasport Indonesia dan India, 48 kad akses, seunit komputer riba, tiga telefon bimbit, borang maklumat tetamu inap desa, wang tunai berjumlah RM74,000.00 dan AS$2,160.

Siasatan awal mendapati pelanggan akan membuat pesanan secara dalam talian dan akan diuruskan oleh warga asing ini.
Mereka mengenakan bayaran antara RM80 hingga RM400 untuk satu malam mengikut saiz bilik.
Aktiviti ini dipercayai telah beroperasi selama setahun.
Ismail menambah, seramai tiga lelaki dan satu perempuan warganegara Bangladesh, seorang lelaki Indonesia dan satu perempuan India ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Per.39b Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Manakala warga asing yang lain ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Sek.6(3) Akta Imigresen 1959/63.
Kesemua warganegara asing yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut anakala enam warga tempatan dan satu lelaki Bangladesh telah diberikan Notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.’
JIM akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM). – MalaysiaGazette
















