KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan beliau untuk merujuk lapan persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan berhubung isu kekebalan daripada tindakan saman terhadapnya.
Notis rayuan itu difailkan di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Rayuan, Istana Kehakiman, Putrajaya melalui firma guaman yang mewakili beliau, Tetuan Zain Megat & Murad pukul 6.44 semalam.
Notis berkenaan diperoleh pihak media hari ini.
Menurut notis itu, Perdana Menteri merayu terhadap keseluruhan keputusan Hakim Roz Mawar Rozain yang menolak permohonan beliau untuk merujuk lapan persoalan undang-undang ke mahkamah tertinggi negara.

Persoalan itu menyentuh isu kekebalan terhadap saman yang difailkan oleh bekas pembantu penyelidiknya, Muhammed Yusoff Rawther atas dakwaan serangan seksual.
Peguam Anwar, Datuk Seri K. Rajasegaran mengesahkan kepada pihak media hari ini bahawa notis rayuan difailkan sejurus selepas keputusan Mahkamah Tinggi.
“Kita failkan notis rayuan itu semalam sebaik sahaja tamat prosiding. Untuk permohonan tangguh prosiding (perbicaraan), kita perlu mendapatkan terlebih dahulu nombor rujukan kes di Mahkamah Rayuan. Bila nombor rujukan telah dapat, baru kita boleh fail permohonan untuk tangguh perbicaraan bersama notis perakuan segera.
“Harap boleh dapat (tarikh pendengaran rayuan) sebelum 16 Jun ini (iaitu hari pertama perbicaraan kes saman yang dikemukakan bekas pembantu penyelidik Anwar, Muhammed Yusoff Rawther),” ujarnya.
Semalam, hakim berkenaan turut memerintahkan perbicaraan yang dijadualkan bulan ini selama tujuh hari iaitu pada 16 hingga 19 Jun dan 23 hingga 25 Jun, dimulakan pendengarannya.

Pada sidang akhbar selepas prosiding itu, Rajasegaran memaklumkan, Anwar turut merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan lisan untuk menangguhkan perbicaraan yang ditetapkan pada 16 Jun ini.
“Kami turut akan memfailkan sijil perakuan segera bagi membolehkan rayuan di Mahkamah Rayuan, dipercepatkan,” ujar beliau ketika ditemui wakil media selepas prosiding tersebut.
Perdana Menteri turut memohon agar mahkamah mempertimbangkan sama ada saman tersebut menjejaskan keupayaannya menjalankan tugas eksekutif serta melemahkan prinsip pengasingan kuasa yang dijamin oleh Perlembagaan.
Muhammad Yusoff memfailkan saman terhadap Anwar pada 2021 selepas mendakwa diserang secara seksual di kediaman Presiden PKR itu di Segambut pada Oktober 2018.
Dalam saman yang difailkannya, bekas penyelidik itu mendakwa, kejadian tersebut berlaku pada 2018, sebelum Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri pada 24 November 2022. – MalaysiaGazette
[KEMAS KINI] Anwar gagal rujuk 8 persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan
















