Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mendapat kebenaran Mahkamah Tinggi untuk merujuk lapan persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan bagi menentukan isu kekebalan beliau daripada tindakan saman.

Hakim Roz Mawar Rozain menolak permohonan Perdana Menteri selepas berpuas hati semua lapan persoalan undang-undang itu tidak melepasi `ambang’ (threshold) untuk rujukan ke mahkamah tertinggi negara.

“Persoalan yang dikemukakan adalah bersifat spekulatif dan tidak melibatkan tafsiran atau kesahan mana-mana peruntukan Perlembagaan,” ujar beliau.

Anwar memohon merujuk lapan persoalan itu bagi menentukan sama ada beliau mempunyai kekebalan daripada saman yang difailkan oleh bekas penyelidiknya, Muhammed Yusoff Rawther atas dakwaan serangan seksual.

Mahkamah turut memerintahkan kos RM20,000 diberikan kepada Muhammed Yusoff.

Muhammed Yusoff Rawther

Dengan keputusan tersebut, Hakim Roz Mawar memerintahkan perbicaraan yang dijadualkan bulan ini selama tujuh hari iaitu pada 16 hingga 19 Jun dan 23 hingga 25 Jun, dimulakan pendengarannya.

Mahkamah menolak permohonan lisan Perdana Menteri untuk penangguhan perbicaraan kerana tiada keadaan istimewa yang mewajarkan ia dibenarkan.

“Tangan saya terikat untuk memberikan penangguhan, tiada keadaan istimewa yang membolehkan ia dibenarkan,” ujarnya.

Ketika membacakan penghakiman ringkasnya, Hakim Roz Mawar menyatakan, Anwar tidak hilang kebebasan meskipun tindakan saman dikemukakan terhadapnya.

Beliau berpendirian, Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan menyatakan, Anwar selaku defendan masih bebas dalam kapasiti undang-undang penuh dan perlindungan prosedur.

Menurut beliau, Perkara 8(1) (kesamarataaan di sisi undang-undang) pula berfungsi sebagai pelindung dan bukan pemberi kekebalan yang mana ia menjamin layanan sama rata di sisi undang-undang.

“Perkara 39, 40 dan 43 hanya mengagihkan kuasa eksekutif dan tidak memberikan kekebalan peribadi. Tiada perlindungan secara nyata atau tersirat terhadap liabiliti sivil,” ujar beliau.

Katanya, tindakan plaintif (Muhammed Yusoff) adalah mengikut undang-undang prosedur dan substantif yang sama seperti orang lain, oleh itu tiada isu tafsiran sebenar yang timbul berhubung Perkara 8(1) untuk dirujuk.

Peguam, Datuk Seri K. Rajasegaran bercakap pada sidang media diperkarangan Mahkamah berikutan Keputusan sama ada Datuk Seri Anwar Ibrahim dibenar merujuk lapan persoalan undang-undang berkaitan isu kekebalan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 4 JUN 2025.

Menerusi permohonan itu, Anwar memohon mahkamah tertinggi negara memutuskan sama ada Perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan memberi beliau kekebalan bersyarat daripada saman berkenaan.

Perdana Menteri turut memohon agar mahkamah mempertimbangkan sama ada saman tersebut menjejaskan keupayaannya menjalankan tugas eksekutif serta melemahkan prinsip pengasingan kuasa yang dijamin oleh Perlembagaan.

Dalam prosiding ini, Anwar, 78, tidak hadir ke mahkamah dan hanya diwakili peguam-peguamnya, Datuk Seri K. Rajasegaran, Datuk Megat Abdul Munir Megat Abdullah Rafaie dan Alan Wong Teck Wei sementara Muhammad Rafique Rashid Ali hadir bagi pihak Muhammed Yusoff, 32.

Peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali (tengah) bercakap pada sidang media berikutan Keputusan sama ada Datuk Seri Anwar Ibrahim dibenar merujuk lapan persoalan undang-undang berkaitan isu kekebalan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 4 JUN 2025.

Turut hadir ialah peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla selaku peguam pemerhati bagi pihak Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM) sementara peguam, Vivek Sukumaran untuk Badan Peguam Malaysia.

Muhammed Yusoff memfailkan saman terhadap Anwar pada 2021 selepas mendakwa diserang secara seksual di kediaman Presiden PKR itu di Segambut pada Oktober 2018.

Dalam saman yang difailkannya, bekas penyelidik itu mendakwa, kejadian tersebut berlaku pada 2018, sebelum Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri pada 24 November 2022. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast