SERDANG – Barang kes bernilai RM5.7 juta bagi tahun 2020 hingga tahun ini dilupuskan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner, Muhamad Farid Ahmad berkata, barang kes paling banyak dilupuskan ialah mesin bitcoin sebanyak 2,934 unit yang jumlahnya mencecah RM4.4 juta.

Barangan kes tersebut melibatkan 173 kertas siasatan sepanjang lima tahun.
Ia diikuti arak (119,094 botol/tin) RM952,752 yang melibatkan kertas siasatan di Bawah Akta Kastam 1967, kertas siasatan pada 2021.
“Manakala 42,218 karton rokok lari cukai (diseludup) bernilai RM337,744 juga di Bawah Akta Kastam 1967 melibatkan kertas siasatan pada 2022,” katanyaketika ditemui di sesi pelupusan barang kes di sini hari ini.
Menurut Muhamad Farid, kesemua barang kes berkenaan telah mendapat kelulusan daripada Mahkamah Petaling Jaya untuk dilupuskan, di bawah Seksyen 407 (A) Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593).
Ditanya insiden pasangan suami isteri bertelingkah di sebuah pasar raya, Muhamad Farid memaklumkan sehingga kini pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenainya.
“Video yang viral itu saya lihat pagi tadi tapi sehingga 3 petang tadi negatif (tiada laporan mengenainya),” katanya ringkas.
Terdahulu semalam, tular di media sosial video dipercayai suami dilihat bertindak mencampak beberapa barang yang ada di dalam troli pasar raya.
Dalam video tersebut, lelaki itu yang memakai topi dilihat mengherdik wanita yang berada dekat dengannya sebelum mencampak barang-barang yang diambil dari dalam troli.
Bagaimanapun wanita itu dilihat mempertahankan tindakannya membeli barangan keperluan dipercayai untuk sambutan hari Raya Aidiladha.
Namun lelaki terbabit terus mencampak barangan dan akhirnya menterbalikkan troli tersebut di hadapan wanita berkenaan dan situasi tegang berkenaan turut disaksikan beberapa orang awam yang kemudian membantu meleraikan pertelingkahan pasangan terbabit. – MalaysiaGazette
















