Festival BZZSTAR 2025 anjuran Universiti Malaya bakal membuka tirai selama enam hari bermula 13 Jun di Kompleks Perdana Siswa, Universiti Malaya,

KUALA LUMPUR – Festival BZZSTAR 2025 anjuran Universiti Malaya bakal membuka tirai selama enam hari bermula 13 Jun di Kompleks Perdana Siswa, Universiti Malaya, dengan pelbagai pengisian menarik yang menggabungkan keusahawanan tempatan, persembahan seni dan pertandingan bakat.

Lebih 1,000 pengunjung dijangka memeriahkan festival anjuran Kolej Kediaman Ke-9, Tun Syed Zahiruddin itu yang menjadi platform pelajar menonjolkan kreativiti dan semangat komuniti kampus.

Pengetua Kolej, Mohd Hairolnezam Kahmis menyifatkan BZZSTAR sebagai bukti kesungguhan mahasiswa dalam menganjurkan program berskala besar yang memberi impak positif kepada warga kampus.

Lebih 1,000 pengunjung dijangka memeriahkan festival anjuran Kolej Kediaman Ke-9, Tun Syed Zahiruddin itu yang menjadi platform pelajar menonjolkan kreativiti dan semangat komuniti kampus.

“Saya amat teruja dengan penganjuran festival ini. Ia bukan sekadar acara hiburan, tetapi menggabungkan keusahawanan, seni dan pembangunan bakat yang bermanfaat kepada komuniti Universiti Malaya. Saya yakin ia akan menceriakan kampus dan memberi nilai tambah kepada pelajar,” katanya.

Nadi utama festival, Gerai Jualan BZZSTAR, menampilkan 52 penggerai tempatan yang menawarkan pelbagai produk kreatif, makanan unik dan hasil tangan yang menarik. Usaha ini juga membuka peluang kepada usahawan muda memperkenalkan jenama mereka di peringkat kampus.

Sementara itu, Penasihat Projek BZZSTAR, Mohd Shahrin Mohd Baroyi berkata festival itu merupakani platform penting untuk mahasiswa memupuk kemahiran insaniah secara holistik.

“BZZSTAR adalah wadah mahasiswa mengekspresikan bakat dan semangat keusahawanan mereka. Ia bukan sekadar projek, tetapi satu proses pembentukan karakter pelajar dari segi kepimpinan, komunikasi dan kerjasama,” katanya.

Salah satu acara kemuncak ialah Malam Suarasa yang dijadualkan pada 15 Jun ini, iaitu sebuah konsert tertutup eksklusif yang menampilkan barisan artis popular seperti Midnight Fusic, Naim Daniel, Fugo dan Empty Page.

Konsert yang bakal diadakan di Auditorium Kompleks Perdana Siswa itu menawarkan pengalaman muzik lebih intim dengan susunan pentas dan pencahayaan profesional. 

Presiden Kolej Kediaman Ke-9, Nur Akil Shamil Mohamed yakin BZZSTAR mempunyai potensi untuk diperluas ke peringkat antarabangsa.

“Jika diteruskan secara konsisten dan diperkaya dengan elemen-elemen menarik, saya percaya BZZSTAR mampu menarik pelancong dan menjadi jenama yang dikenali di luar negara,” ujarnya.

Sementara itu, Malam Penuh Bintang yang dijadual berlangsung pada 18 Jun akan mempersembahkan pertandingan nyanyian solo Bahasa Melayu serta persembahan kumpulan seni daripada penghuni kolej kediaman.

Acara tersebut memberi ruang kepada bakat baharu untuk menyerlah dan dalam masa sama menyemarakkan apresiasi terhadap seni suara dan bahasa kebangsaan.

Menurut Ammar Aizat, selaku Jawatankuasa Pelajar Keusahawanan Kolej Ke-9 yang menyelia projek ini, BZZSTAR diharapkan menjadi acara tahunan yang dinanti-nantikan oleh seluruh warga kampus dan masyarakat umum.

“BZZSTAR membuktikan mahasiswa bukan sahaja mampu mengacarakan program berimpak besar, tetapi juga menjadikannya platform yang memberi nilai tambah kepada universiti dan komuniti,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast