HIV (Human Immunodeficiency Virus) ialah sejenis virus yang menyerang sistem imun manusia, manakala AIDS (Acquired Immunodeficiency Syndrome) merupakan tahap akhir jangkitan HIV yang serius. Penyakit ini menyebabkan sistem pertahanan badan menjadi lemah dan pesakit tidak akan mampu untuk melawan hatta jangkitan yang paling ringan sekalipun.
Sehingga tahun 2022, sebanyak lebih 100,000 kes HIV telah dilaporkan di Malaysia sejak kes pertama dilaporkan pada tahun 1986. Jumlah kematian akibat komplikasi jangkitan ini juga sudah menjangkau lebih daripada 62,000 kes. HIV/AIDS bukan sahaja penyakit berjangkit yang boleh mengancam nyawa, malah turut memberi cabaran besar dalam kesihatan awam dan cabaran psikososial dalam kalangan penghidap dan juga ahli keluarga mereka sendiri.
Pesakit kebanyakannya terdiri daripada golongan muda dan produktif iaitu berada dalam lingkungan usia 20-49 tahun yang turut menjadi cabaran bukan sahaja dari segi sosioekonomi, malah dalam sistem kekeluargaan itu sendiri. Pada peringkat awal penularan HIV di Malaysia, punca utamanya adalah melalui perkongsian jarum suntikan dalam kalangan penagih dadah (people who inject drugs, PWID) manakala sejak kebelakangan ini, transmisi seksual menjadi punca utama penularan dan lelaki yang menjalankan hubungan seks dengan lelaki (MSM) diunjurkan menjadi penyumbang utama di Malaysia menjelang tahun 2030. Perkara sebegini akan menjadi punca kehilangan tenaga kerja yang produktif serta mengakibatkan terjejasnya ekonomi sesebuah keluarga khasnya dan negara amnya.
Selain daripada kesan ekonomi, HIV/AIDS turut boleh menjejaskan emosi dan kesihatan mental sesebuah keluarga. Diagnosis jangkitan HIV boleh dianggap seolah-olah satu hukuman yang tiada keampunan bagi golongan ini dan ahli keluarga mereka. Kebimbangan terhadap masa depan, stigma masyarakat, kos rawatan dan tekanan psikologi yang bakal mendatang merupakan perkara yang perlu dihadapi oleh pesakit dan ahli keluarga mereka yang terlibat. Kebanyakan penghidap HIV dan ahli keluarga mereka terpaksa menyembunyikan status pesakit kerana bimbang dipulaukan jiran, rakan malahan ada yang terpaksa menyembunyikan keadaan ini daripada diketahui oleh ahli keluarga mereka sendiri.
Satu kajian yang telah dijalankan pada tahun 2017 untuk menilai pengalaman keluarga menjaga anak-anak yatim yang kehilangan ibu atau bapa akibat HIV/AIDS. Responden yang terdiri daripada ibu atau nenek kepada anak-anak ini memaklumkan mereka terpaksa menggalas tanggungjawab tambahan sebagai ketua keluarga, mengalami kekangan kewangan dan pada masa yang sama terpaksa mencari pendapatan untuk menanggung keperluan harian untuk seisi keluarga bagi memastikan kebajikan dan pendidikan anak-anak terus terjamin.
Kesan psikososial turut menjadi kesan yang signifikan dalam kehidupan bukan sahaja penjaga malah anak-anak yang terlibat seperti kemurungan terutamanya akibat diskriminasi daripada ahli masyarakat. Kehilangan sumber pendapatan akibat kematian disebabkan HIV/AIDS ini menyebabkan pendapatan seisi keluarga turut terjejas. Pesakit yang sebelum ini produktif turut terpaksa meninggalkan alam pekerjaan disebabkan oleh masalah kesihatan atau diskriminasi di tempat kerja. Kos rawatan dan penjagaan untuk pesakit juga mungkin menjadi bebanan kepada keluarga yang berpendapatan rendah.
Stigma dan diskriminasi masih menjadi penghalang utama dalam usaha pencegahan dan rawatan HIV/AIDS. Ramai individu yang berisiko enggan tampil menjalani ujian mahupun mendapatkan rawatan kerana bimbang dipandang serong. Diskriminasi di tempat kerja untuk pesakit dan sekolah untuk anak-anak mereka turut memberi tekanan kepada pesakit dan keluarga yang menyebabkan emosi mereka terganggu. Persepsi negatif ini bukan sahaja menjejaskan kesejahteraan penghidap HIV, malah menyukarkan usaha kerajaan dan NGO dalam membendung penularan HIV/AIDS.
Islam menekankan pentingnya menjaga maruah, kesihatan dan kebajikan setiap individu tanpa mengira status penyakit. Oleh itu, penghidap HIV/AIDS tidak wajar didiskriminasi atau dipinggirkan, sebaliknya perlu diberikan sokongan dan rawatan yang sewajarnya. Pendidikan untuk meneruskan rawatan di samping meninggalkan tingkah laku berisiko yang membawa kepada jangkitan HIV perlu ditekankan. Pesakit sendiri juga perlu cekal dalam meninggalkan perbuatan yang membawa kepada penularan HIV.
Bagi mengurangkan kesan HIV/AIDS, masyarakat perlu dididik untuk memahami penyakit ini secara ilmiah dan menghapuskan stigma. Program kesedaran di sekolah, tempat kerja dan komuniti harus diperkukuh. Kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) perlu menyediakan sokongan psikososial, bantuan kewangan dan peluang pekerjaan kepada keluarga terjejas. Institusi agama juga boleh memainkan peranan dalam memberi bimbingan dan sokongan moral. Semua pihak harus berganding bahu untuk memastikan penghidap HIV/AIDS dan keluarga mereka tidak dipinggirkan, sebaliknya diberi peluang membina kehidupan yang lebih baik.
HIV/AIDS memberi impak besar kepada keluarga dan masyarakat di Malaysia dari segenap sudut. Firman Allah SWT dalam al-Quran, Surah az-Zumar ayat 53 yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa, sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.
Semoga pihak berwajib dan masyarakat terus bersatu hati dalam memberikan bimbingan serta sokongan bagi mereka yang terkesan. Adalah mustahak untuk ditekankan berkenaan pendidikan serta informasi berkenaan bahaya HIV/AIDS untuk masyarakat umumnya, demi meningkatkan taraf kesihatan dan kesejahteraan rakyat.
Dr. Nurmusfirah Ahmad
Pegawai Perubatan, Pusat Darah Negara &
Dr. Jannatul Madihah Abu Bakar
Setiausaha WARAK Malaysia
















