Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Keputusan Mahkamah Tinggi terhadap kes melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam membuktikan sistem kehakiman negara berfungsi secara bebas.

Penyelaras International Law Unit (ILU), Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Mohd. Hazmi Mohd. Rusli berkata, keputusan itu juga menggambarkan sistem kehakiman negara tidak tunduk kepada tekanan luar, khususnya pengaruh politik.

Paling utama, kata beliau, keputusan itu juga menjelaskan prinsip tidak ada sesiapa pun yang berada di atas undang-undang akan terus dijaga dan dipertahankan dalam sistem demokrasi negara.

Prof. Madya Dr. Mohd. Hazmi Mohd. Rusli

“Apabila seseorang itu membawa kes ke mahkamah termasuk Perdana Menteri, ia tidak sepatutnya dianggap menyalahgunakan kuasa, kerana perkara itu sememangnya menjadi hak seseorang dalam Perlembagaan.

“Yang penting, proses itu perlu dihormati dan biarlah mahkamah membuat keputusan dan berfungsi mengikut jalurnya tanpa gangguan. 

“Sekiranya undang-undang itu mahu ditegakkan, kita perlu benarkan mahkamah bertindak bebas, walaupun keputusannya mungkin tidak memihak kepada kita,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Semalam, Mahkamah Tinggi membuat keputusan tidak membenarkan Anwar merujuk lapan persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan bagi menentukan isu kekebalan beliau daripada tindakan saman.

Hakim Roz Mawar Rozain menolak permohonan Perdana Menteri selepas berpuas hati semua lapan persoalan undang-undang itu tidak melepasi `ambang’ (threshold) untuk rujukan ke mahkamah tertinggi negara.

Anwar memohon merujuk lapan persoalan itu bagi menentukan sama ada beliau mempunyai kekebalan daripada saman yang difailkan oleh bekas penyelidiknya, Muhammed Yusoff Rawther atas dakwaan serangan seksual.

Terdahulu Pejabat Peguam Negara (AGC) pada 14 Januari 2020 memaklumkan pihaknya tidak akan membuat pendakwaan jenayah terhadap Anwar kerana kekurangan bukti dan percanggahan fakta material yang tidak dapat menyokong pendakwaan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Mohd. Hazmi berkata, keputusan Anwar untuk merayu keputusan Mahkamah Tinggi tersebut juga menunjukkan penghakiman kes berkenaan berjalan seperti mana proses yang berlaku terhadap mana-mana tertuduh tanpa mengira pangkat atau kedudukan.

Ia juga, kata beliau, menangkis dakwaan kononnya Anwar bakal menerima keistimewaan hanya kerana kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri.

Sedangkan, jelasnya, adalah jelas perundangan dan sistem kehakiman negara terletak pada kedudukan paling tinggi mengatasi sesiapa sekali pun, dan perkara itu dibuktikan dalam keputusan Mahkamah Tinggi melibatkan Anwar semalam.

Sementara itu, ditanya berkenaan gesaan sesetengah pihak supaya Anwar meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri bagi memberi tumpuan kepada kes mahkamah tersebut, Mohd. Hazmi menyifatkan desakan berkenaan sebagai tidak berasas.

Jelas beliau, gesaan seperti itu jelas bermotifkan politik dan disifatkan cubaan menangguk di air keruh bagi memberi imej buruk dan mencalar reputasi Anwar serta kerajaan hari ini.

“Desakan meletakkan jawatan apatah lagi melibatkan jawatan sepenting Perdana Menteri bukan boleh dibuat secara semeberono.

“Ia akan melibatkan perubahan kepimpinan negara, sekali gus akan mengganggu hala tuju dan pentadbiran kerajaan sedia ada,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast