Gerald Tang Mun Hon

JOHOR BAHRU – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor Bahru membantah keras pelantikan ketua masyarakat Cina/kampung baru di daerah ini bagi penggal 2025–2027 yang semuanya dibolot wakil-wakil MCA.

Naib Ketua PKR Cabang Johor Bahru, Gerald Tang Mun Hon berkata, pihaknya kecewa wakil Pakatan Harapan (PH) tidak langsung diberikan peranan memegang jawatan itu sedangkan mereka sedia untuk berkhidmat.

“Walaupun PH merupakan komponen penting dan aktif dalam Kerajaan Perpaduan, tiada satu pun pelantikan di Johor Bahru diberikan kepada wakil-wakil dari Pakatan Harapan.

“Sebaliknya, kesemua jawatan telah diserahkan sepenuhnya kepada MCA di bawah Barisan Nasional ” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, perkembangan itu menimbulkan persoalan asas, adakah benar-benar wujud sebuah kerajaan campuran di Johor?

Hakikat sebuah kerajaan campuran katanya, adalah pentadbiran bersama-sama, saling menghormati dan perwakilan yang adil.

Jelasnya, pelantikan itu dibuat tanpa perundingan atau penglibatan PH, jelas bertentangan dengan semangat perpaduan yang menjadi asas Kerajaan Persekutuan.

“Kami menuntut penjelasan yang jelas dan pertimbangan semula segera terhadap senarai pelantikan ini,” katanya.

Mun Hon berkata, rakyat Johor Bahru  khususnya komuniti Cina dan penduduk kampung baru berhak mendapat pemimpin masyarakat yang dilantik melalui proses telus serta mencerminkan kepelbagaian dan kehendak rakyat

“Kami bersedia untuk berkhidmat dan menyumbang secara bermakna kepada masyarakat.

“Namun, pengabaian kami dalam proses pelantikan penting ini bukan sahaja menjejaskan kedudukan kami dalam kerajaan campuran, tetapi juga kepercayaan penyokong akar umbi kami,” ujarnya.

Pihaknya menggesa kerajaan negeri dan pihak berkuasa berkaitan untuk meneliti semula perkara itu dengan segera.

Tambahnya, ini bagi memastikan perwakilan yang adil serta benar-benar mencerminkan kerajaan campuran selepas disepakati dan bina bersama.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast