Penduduk kampung menunjukkan kolam yang dikatakan mempunyai unsur mistik namun lembu ditemukan dalam keadaan selamat.

MELAKA – Kehilangan hampir 20 jam seorang remaja lelaki orang kurang upaya (OKU) lemah pembelajaran ketika mencari lembu ternakan sejak 6.30 petang semalam turut dikaitkan dengan unsur mistik termasuk disorok bunian.

Saksi kejadian, Muhammad Hambali Jahaya, 25, mendakwa, kawasan hutan berkenaan sememangnya diketahui oleh penduduk kampung sebagai tempat ‘keras’.

“Dalam kalangan penduduk tempatan, memang tiada siapa berani masuk ke kawasan ini pada waktu Maghrib terutamanya di dua kolam peninggalan lama berusia lebih 80 tahun.

“Buktinya semalam, hampir dua jam sejak pukul 8 malam saya dan tujuh penduduk kampung lalu di kawasan kolam itu bersama lampu suluh tapi tak jumpa pun lembu di situ.

“Tetapi selepas abang saya, Muhammad Hasbullah melaungkan azan pada kira-kira 10 malam, tiba-tiba kami melihat lembu berkenaan dalam kolam berselut tebal sedalam kira-kira 1.5 meter itu,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Muhammad Hambali Jahaya

Remaja berkenaan Muhamad Aidil Asyraf Fadli, 15, dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas mencari lembu di dalam hutan petang semalam.

Menurutnya, sebaik mendapati lembu betina itu berada dalam kolam, beberapa penduduk kampung terjun untuk menyelamatkan lembu berkenaan yang sudah dalam keadaan lemah.

“Lembu terbabit langsung tidak melawan dan berbunyi ketika kami cuba menyelamatkannya.

“Abang saya segera memeriksa dalam selut di bawah lembu, bimbang Muhamad Aidil berada di bawahnya namun tiada sebarang petunjuk keberadaanya menyebabkan kami semakin buntu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast