KUALA LUMPUR – Jawatan Perdana Menteri tidak harus menjadi perisai diri oleh mana-mana pihak untuk mengelak perbicaraan di mahkamah, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Menurut beliau, sesiapa pun yang memimpin negara mempunyai tanggungjawab moral untuk memperlihatkan tauladan kepimpinan kepada rakyat dengan bersedia untuk melalui setiap proses kehakiman secara terbuka demi imej serta kemuliaan institusi Perdana Menteri.
“Jika Perdana Menteri mendakwa rujukan beliau itu bertujuan untuk memastikan jawatan awam tertinggi dilindungi daripada litigasi yang mungkin berlaku secara strategik, bermotifkan politik atau mengganggu institusi, saya sepenuh dan sesungguhnya yakin bahawa sistem perundangan Malaysia sudah pun mempunyai mekanisme menapis saman yang remeh atau berniat jahat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Hamzah, konsistensi adalah penting, jika ada mana-mana pihak cuba memberikan gambaran seolah-olah kehakiman negara tidak mampu membezakan antara tuntutan yang sah berbanding “motif politik”, ia merupakan satu penghinaan terhadap kebebasan badan kehakiman yang sepatutnya dipertahankan.
Katanya, penolakan Mahkamah Tinggi terhadap permohonan rujukan undang-undang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai imuniti adalah selari dengan prinsip asas kedaulatan undang-undang dan doktrin pemisahan kuasa.
Anwar tidak mendapat kebenaran Mahkamah Tinggi untuk merujuk lapan persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan bagi menentukan isu kekebalan beliau daripada tindakan saman.
Hakim Roz Mawar Rozain menolak permohonan Anwar selepas berpuas hati semua lapan persoalan undang-undang itu tidak melepasi ‘ambang’ untuk rujukan ke mahkamah tertinggi negara.
“Persoalan yang dikemukakan adalah bersifat spekulatif dan tidak melibatkan tafsiran atau kesahan mana-mana peruntukan Perlembagaan,” menurut Hakim Roz Mawar.
Anwar memohon merujuk lapan persoalan itu bagi menentukan sama ada beliau mempunyai kekebalan daripada saman yang difailkan oleh bekas penyelidiknya, Muhammed Yusoff Rawther atas dakwaan serangan seksual.
Mahkamah juga menolak permohonan lisan Perdana Menteri untuk penangguhan perbicaraan kerana tiada keadaan istimewa yang mewajarkan ia dibenarkan.
“Tangan saya terikat untuk memberikan penangguhan, tiada keadaan istimewa yang membolehkan ia dibenarkan,” ujarnya.
Ketika membacakan penghakiman ringkasnya, Hakim Roz Mawar menyatakan, Anwar tidak hilang kebebasan meskipun tindakan saman dikemukakan terhadapnya.
Bagaimanapun, peguam, Datuk Seri K. Rajasegaran yang mewakili Anwar memaklumkan akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.
Ujar beliau, pihaknya tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi atas alasan ia akan menjejaskan fungsi eksekutif Anwar selaku Perdana Menteri.
Kata Rajasegaran, persoalan undang-undang yang dibangkitkan menyentuh isu yang melangkaui fakta kes di hadapan mahkamah kerana ia turut melibatkan keterbatasan proses undang-undang dan maruah pegawai tinggi kerajaan. – MalaysiaGazette
















