GEORGE TOWN – Seorang jurutera mengalami kerugian RM1.53 juta akibat terpedaya dengan penipuan pelaburan secara dalam talian semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, lelaki berusia 40 tahun yang bekerja di sebuah syarikat di Timur Tengah itu dikatakan mula terjerat selepas berkenalan dengan seorang wanita menerusi telefon pada November tahun lalu.

Jelasnya, mangsa dikatakan menjalinkan hubungan cinta dengan wanita itu sebelum dia ditawarkan untuk menyertai satu pelaburan bernama Goldencrimson.

“Mangsa yang berminat untuk melabur selepas ditawarkan beberapa pakej seperti Junior Room, Intermediate Room, Superior Room dan Supreme Room dengan kadar keuntungan yang bergantung kepada pakej yang dipilih.

“Susulan itu, dia diberikan satu nombor telefon bimbit sebagai talian pelanggan untuk dihubungi selain satu pautan laman web untuk mendaftar sebelum melabur RM90,510 dengan pulangan keuntungan RM108,611.

“Mangsa yang mempercayai pelaburan itu mendatangkan keuntungan telah membuat sebanyak 103 transaksi pindahan wang ke dalam 31 akaun berbeza berjumlah RM1,532,563 antara 2 Disember 2024 sehingga 8 Mac lalu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, bagaimanapun dia mula menyedari ditipu selepas gagal mengeluarkan keuntungan pelaburan berjumlah RM4,131,671 melalui aplikasi pelaburan tersebut.

“Malah, mangsa turut diminta membuat penambahan modal bagi membolehkan pengeluaran keuntungan yang diperolehi.

“Susulan itu, mangsa tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah di Bukit Mertajam dekat sini semalam bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast