Isham Jalil

KUALA LUMPUR – Pengumuman Petroliam Nasional Bhd (Petronas) untuk mengurangkan lebih 5,000 pekerja serta membekukan pengambilan baharu sehingga akhir 2026 disifatkan tidak masuk akal.

Bekas Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil berkata, ini kerana sebelum ini kerajaan mendabik dada dengan mengatakan berjaya mengendalikan ekonomi dengan baik selain memiliki menteri kewangan hebat.

Namun lain pula jadinya ketika ini, jelas beliau, kerana pekerja hanya akan dibuang sekiranya ekonomi sesebuah negara itu gagal diuruskan dengan baik.

“Kejap kamu kata ekonomi bagus, ekonomi terbaik dan sebagainya. Menteri Kewangan terbaik, tiba-tiba kamu buang orang. Kalau ekonomi bagus, kita tidak buang orang. Ini tidak kena dan masuk akal. Macam mana ekonomi baik, kamu buang orang.

“Kita buang orang kalau ekonomi tidak bagus. Jadi kamu cakap betul-betul, ekonomi bagus atau tidak. Apa yang kamu buat sekarang, nombor satu tarik subsidi, tong gas, harga minyak naik, harga diesel naik, harga gas naik, harga pun akan melambung, bukan sekadar itu, kamu naikkan cukai-cukai, sekarang sini kamu hendak buang orang lagi, ini apa benda punya dasar?” katanya dalam satu rakaman video di Facebook miliknya, di sini, hari ini.

Beliau mengulas pengumuman Petroliam Nasional Bhd (Petronas) untuk mengurangkan lebih 5,000 pekerja serta membekukan pengambilan baharu sehingga akhir 2026.

Ketua Pegawai Eksekutif, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, langkah itu terpaksa diambil bagi mengurangkan kos susulan kejatuhan harga minyak mentah.

Kata beliau, semua pihak yang terlibat dengan penstrukturan semula itu akan dimaklumkan selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Mengulas lanjut, Isham yang juga bekas Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata, alasan Petronas untuk pengurangan pekerja disebabkan kejatuhan harga minyak itu juga tidak dapat diterima.

Ini kerana tegas beliau, sejak dahulu lagi harga minyak tidak pernah stabil dan pernah jatuh hingga AS$38 setong dan ketika itu kerajaan terdahulu tidak membuang pekerja Petronas.

“Alasan yang dibagi Petronas, macam-macamlah. Dia kata ketidakketentuan ekonomi negara, harga minyak Brent jatuh AS$65 setong dan sebagainya. Alasan-alasan macam ini, daripada dulu pun keadaan ekonomi dunia, mana pernah stabil dan dia naik turun dan dulu saya ingat dalam kerajaan, saya di Unit Perancangan Ekonomi dulu dan saya jaga petroleum, gas dan elektrik.

“Ketika itu minyak pernah jatuh AS$38 setong, tapi kita tidak pernah buang orang macam ini. Kamu ini, minyak dari harga AS$75, AS$80 dan hari ini AS$65, kamu buat alasan itu dan kamu buang 5,000 orang. Ini apa cerita?” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast