GEORGE TOWN – Parti Gerakan menyifatkan kegagalan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) menjadi punca kemerosotan prestasi syarikat minyak dan gas negara, Petroliam Nasional Berhad (Petronas) sehingga terpaksa memberhentikan lebih 5,000 pekerja.
Timbalan Presiden Parti Gerakan, Oh Tong Keong berkata, Petronas yang selama ini menjadi tonggak utama ekonomi negara bukan sahaja menyumbang pendapatan besar kepada kerajaan Persekutuan, malah menyediakan sumber rezeki kepada lebih 50,000 rakyat Malaysia.
Dakwanya, bagaimanapun, selepas PH mengambil alih tampuk pemerintahan, Petronas mula mengalami kejatuhan besar sehingga terpaksa mengumumkan pemberhentian lebih 5,000 pekerja dan membekukan pengambilan baharu sehingga Disember 2026.
“Semasa pentadbiran kerajaan terdahulu, Petronas tetap berupaya mengekalkan tenaga kerja meskipun harga minyak mentah dunia pernah merosot ke paras terendah.
“Sebagai contoh, pada tahun 2016 dan 2020, harga minyak mentah Brent pernah jatuh di bawah paras AS$30 setong, jauh lebih rendah berbanding harga semasa sekitar AS$65 setong.
“Namun ketika itu, Petronas masih mampu mengekalkan operasi dan tidak mengambil langkah untuk memberhentikan pekerja,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, keputusan drastik Petronas melaksanakan pemberhentian pekerja ketika harga minyak masih stabil jelas menunjukkan kelemahan pengurusan dan strategi syarikat di bawah pentadbiran PH.
Katanya, Petronas menyumbang kira-kira 10 peratus daripada pendapatan kerajaan Persekutuan pada tahun lalu dan ketidaktentuan struktur serta operasi syarikat itu bakal memberi kesan langsung terhadap kedudukan fiskal negara.
“Bayangkan, sebuah kerajaan yang gagal mempertahankan kestabilan syarikat milik negara yang begitu penting, bagaimana mungkin kerajaan itu mampu membawa negara keluar daripada krisis ekonomi?,” soalnya. – MalaysiaGazette
















