KUALA LUMPUR – Penang FC kini menjadi pasukan paling sibuk pada jendela perpindahan Liga Malaysia 2025/2026 ketika ini apabila membawa masuk tiga lagi pemain baharu yang masing-masing merupakan tonggak utama Kedah Darul Aman (KDA) FC.
Mereka merupakan Amirul Hisyam Awang Kechik, Ariff Farhan Md Isa dan Akmal Zahir yang masing-masing akan memperkuatkan barisan pertahanan skuad Harimau Kumbang yang rapuh musim lalu.
Kehadiran ketiga-tiga rekrut baharu itu diharapkan mampu membawa perubahan kepada skuad kendalian Wan Rohaimi Wan Ismail kerana kelab utara tanah air itu dijangka menjadi pencabar selepas khabar angin mengatakan lebih ramai pemain akan dibawa masuk.
Sementara ittu, musim lalu, Ariff Farhan merupakan nadi utama barisan pertahanan KDA FC kerana kebolehannya mematahkan serangan dari posisi sayap menjadikannya watak utama buat pasukan yang bergelut di luar padang.
Akmal Zahir pula yang merupakan bek tengah KDA FC musim lalu juga bakal menjadi nilai tambah berkualiti dilakukan skuad Harimau Kumbang kerana nilai kepimpinannya dapat disaksikan sepanjang dia memakai lilitan tangan kapten.

Kemasukannya akan turut mengisi kekosongan besar ditinggalkan tonggak Penang FC, Rafael Vitor yang baru-baru ini menoktahkan tempoh perkhidmatan lima musim buat kelab Utara tanah air berkenaan.
Sementara itu, Amirul Hisyam yang lebih dikenali sebagai Worm dalam kalangan penyokong Hijau Kuning juga mampu mengukuhkan benteng pasukan kerana dia beraksi sebagai pemain tengah bertahan sepanjang 10 musim bersama KDA FC.
Ketiga-tiga pemain berkenaan dibawa masuk Penang FC bagi kempen akan datang susulan ketiadaan KDA FC dalam divisyen teratas bola sepak tempatan musim depan susulan kegagalan memperolehi lesen kebangsaan.
Berdasarkan kenyataan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), kelab tersebut gagal memenuhi kriteria kewangan ditetapkan, sekali gus memaksa mereka mengucapkan selamat tinggal kepada kempen Liga Super 2025/26. – MalaysiaGazette
















