KLANG – Penduduk Kampung Raja Uda, di sini, sepakat membantah projek pembinaan memorial yang didakwa berskala besar di kawasan berdekatan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Persekutuan Kampung Raja Uda, Azhar Ibrahim berkata, projek berkenaan memberi ketidakselesaan kepada penduduk kampung berkenaan yang mana 90 peratus adalah Melayu Islam.
“Inilah harapan kami sebagai penduduk kampung kerana kami semua adalah anak jati kampung ini.
“Kampung ini adalah kampung tradisi kami mengharapkan perpaduan semua untuk menolak projek ini,” katanya ketika sidang media.
Menurutnya, penduduk kampung tidak dimaklumkan mengenai projek tersebut sehinggalah mereka melihat sendiri papan tanda pemakluman pembinaan.
Malah katanya, lebih mengecewakan memorial tersebut didakwa akan dibina berhampiran Masjid Kampung Raja Uda.
Sehubungan itu, Azhar menyeru supaya Datuk Bandar Klang campur tangan mendengar bantahan penduduk dan memastikan projek tersebut tidak diteruskan.
Ujarnya, pihaknya tidak teragak-agak untuk menghantar memorandum kepada pihak Istana sekiranya bantahan mereka tidak dilayan.
“Saya mengharapkan pihak berkenaan dapat bertanggungjawab memaklumkan kepada penduduk kerana ini adalah satu-satunya projek yang tidak menguntungkan Kampung Raja Uda ini,” tambahnya.
Terdahulu katanya, penduduk kampung itu sedang berusaha membuat bantahan secara dalam talian.
Sementara itu, Imam 1 Masjid Kampung Raja Uda, Mohd. Bazaireen Baharuddin berkata, wakil rakyat kawasan tersebut sedia maklum terhadap isu berkenaan.
“Setahu saya memang tidak ada perbincangan tiba-tiba ada papan tanda pembinaan projek.
“Kami penduduk kalau bantahan tidak dilayan kami harap pihak berkuasa (Ahli Parlimen, ADUN dan Datuk Bandar) mengambil kira bantahan kami,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















