KUANTAN – Hampir 30 keluarga di Kampung Sungai Batu, Sungai Lembing, di sini, mengalami masalah bekalan air yang semakin kritikal sejak belakangan ini.
Salah seorang penduduk kampung itu, Nur Hirna Syuhada Abdul Kadir, 27, berkata, tekanan air rendah ke kawasan rumahnya yang sedikit berbukit dipercayai menjadi punca bekalan air tidak sampai ke kediamannya.
Namun, kata ibu kepada dua anak itu, masalah tekanan air rendah yang dijadikan alasan oleh pihak berwajib sudah berlarutan lebih 20 tahun.
“Katanya sebab sistem paip dah terlalu lama, sudah 40 tahun. Sebab itu tekanan rendah. Tapi, kami dah tak tahan. Kami sampai kena ambil air dari sungai untuk kegunaan di rumah. Kasihan kepada yang lebih tua.
“Sampai bila kami kena tadah air hujan untuk kegunaan seharian. Mujurlah PAIP ada hantar air hari ni, itu pun selepas tiga hari tangki air habis dah minta berkali-kali untuk datang hantar air,” katanya kepada MalaysiaGazette, di sini.

Nur memberitahu, tangki air berwarna hitam disediakan pihak Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) yang ditempatkan berhampiran rumahnya hanya berkapasiti kira-kira 1,800 liter dan perlu dikongsi bersama dua lagi isi rumah berhampiran.
Jumlah itu katanya, hanya memadai bagi kegunaan maksimum selama dua atau tiga hari dengan penggunaan yang berjimat cermat.
Oleh sebab itu, dia turut menyimpan air di dalam botol serta menadah air hujan di dalam tangki di belakang rumahnya untuk membasuh pinggan dan memasak.
Sementara itu, Azeman Abd Ghani, 59, memberitahu, beliau terpaksa menghantar pakaian yang perlu dibasuh ke perkhidmatan dobi kerana mesin basuh yang dibeli tidak dapat digunakan berikutan ketiadaan air.
“Ada mesin basuh pun tak boleh pakai. Tapi, itu lah. Perlu keluar RM10 atau RM15 pula untuk ke dobi. Belum tambah bil air setiap bulan lagi yang mencecah RM36 walaupun tiada air lalu di paip. Itu lah masalah kita.
“Kita cuma nak kalau boleh bekalan air sentiasa ada dan bukannya terhad. Walaupun tak laju, tak mengapa, asalkan sentiasa mengalir,” katanya yang tinggal bersama isteri dan empat orang anak di kampung itu sejak tiga tahun lepas.

Menurut Sheikh Zainal Abidin Sheik Muhamad, 59, sudah menjadi rutin harian dia dan semua penduduk yang terkesan di skampung tersebut tidur lewat malam menunggu bekalan air di pili air masing-masing.
Beliau telah membelanjakan kira-kira RM3,000 untuk membeli peralatan paip, tangki dan pam agar dapat menyimpan air untuk kegunaan isi rumah seramai enam orang.
“Kalau tiada air, kita jadi susah hati. Anak-anak nak balik rumah hujung minggu atau cuti pun kita sebagai ibu bapa susah hati. Jadi trauma pula.
“Jadi, air tu amat-amat berharga bagi kami di sini. Kalau boleh kuatkan sikit tekanan air tu, asalkan ada air walaupun mengalir perlahan. Kalau siang tu aliran perlahan pun kami boleh terima lagi, sebab malam kami akan tadah air lagi. Asalkan bekalan air sentiasa ada,” katanya.

Bapa kepada tujuh orang anak itu melahirkan kebimbangan kerana akan mengadakan kenduri aqiqah dan korban esok dengan menerima kehadiran sanak sudara selama dua hari.
Berikutan itu, Sheikh Zainal telah membuat permohonan kepada PAIP untuk menyediakan sebuah tangki tambahan bagi tujuan tersebut selepas berhadapan ketiadaan air ketika majlis perkahwinan anaknya pada 2022.
“Dulu masa kenduri kahwin anak saya, saudara mara saya ni merata-rata mandi, di masjid, surau. Kesal juga, sebab mereka ramai-ramai datang nak meraikan majlis saya, tapi jadi begitu.
“Saya masa itu tak tahu nak buat apa sebab baru berpindah ke sini. Saya malu juga, tapi mereka terpaksa juga mandi di surau di masjid. Jadi, saya harap tak berlaku lagi untuk kenduri saya dua tiga hari ini,” ujarnya.
Dia yang merupakan seorang pesara berharap pihak berwajib dapat mencari jalan penyelesaian kepada permasalahan yang ditanggung penduduk kampung itu.
“Kalau boleh, tambah baik paip-paip lama sedia ada tu, supaya boleh buka tekanan air lebih tinggi. Kalau boleh, kami pun nak merasa bekalan air secara terus juga sebab ia keperluan asas dan kita perlu seiringlah dengan kemajuan negara kita,” tambahnya. – MalaysiaGazette















