Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pembangkang membidas sikap kerajaan yang berdiam diri terhadap pengumuman Petroliam Nasional Bhd (Petronas) untuk mengurangkan lebih 5,000 pekerja serta membekukan pengambilan baharu sehingga akhir 2026.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata, tindakan kerajaan itu dilihat lebih mementingkan hasil dividen berjumlah RM32 bilion yang disumbangkan oleh Petronas

“Helo? Ini bukan syarikat kampung. Ini syarikat milik negara. Tapi kerajaan macam tak kisah langsung. Janji dapat RM32 bilion dividen, semua selesai.

“Saya dah bangkitkan isu ini berkali-kali di dalam dan luar Parlimen. Pada 13 November tahun lepas, saya tanya dalam Dewan pasal hala tuju rundingan antara Petronas dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros).

“Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Dato’ Sri Azalina Othman Said, jawab kononnya semuanya akan utamakan kepentingan nasional.

“Saya tiada masalah dengan Petros, tapi persoalan kita.. apa jadi dengan Petronas selepas ini? Siapa nak bela ‘ibu’ kepada semua aset negara ni?” katanya menerusi kenyataan di Facebook miliknya di sini hari ini.

Semalam, Petronas mengumukan akan mengurangkan kira-kira 10 peratus daripada tenaga kerjanya atau lebih 5,000 orang susulan penstrukturan semula syarikat secara menyeluruh.

Ketua Pegawai Eksekutif, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, langkah itu terpaksa diambil bagi mengurangkan kos susulan kejatuhan harga minyak mentah.

Kata beliau, semua pihak yang terlibat dengan penstrukturan semula itu akan dimaklumkan selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas menyifatkan keputusan kerajaan terus mengambil dividen besar daripada Petronas walaupun keuntungan syarikat menurun sebagai tindakan gelojoh dan bodoh.

“Februari lalu, saya ulang lagi dalam media.. bila kerajaan terus kaut dividen Petronas walaupun untung syarikat jatuh, itu tindakan bodoh dan gelojoh, macam sembelih angsa bertelur emas,” katanya.

Semalam, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz, sendiri mengakui langkah ‘rightsizing’ ini perlu dilakukan demi memastikan kelangsungan syarikat dalam tempoh 10 tahun akan datang.

“Sekarang apa jadi? Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PMX) dan geng masih duduk bangga cerita pelabur yakin, ekonomi kukuh, semua kononnya terkawal.

“Stabil apa kalau syarikat sebesar Petronas pun tengah berjimat sampai buang pekerja? Nak lagi sedih, pekerja ribuan bakal kena buang, tapi tak nampak langsung pelan kerajaan nak bantu mereka.

“Tak ada pakej bantuan, tak ada pelan penempatan semula. Menteri pun senyap. Macam tak jadi apa-apa,” katanya.

Ahmad Fadhli

Ahmad Fadhli turut menyarankan Perdana Menteri agar berehat dan memberi tumpuan kepada kes saman sivil yang dihadapinya.

“Kalau ini bukan tanda kecuaian pengurusan ekonomi negara, kita nak tunggu sampai Petronas runtuh betul-betul baru nak menyesal? Nampak hilang arah tuju pentadbiran PMX ini.

“Berehatlah dulu, tumpukan kepada kes saman bekas penyelidik PMX, Muhammed Yusoff Rawther. Rosak negara jika dibiarkan terus begini,” katanya.

Sebelum itu, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Syed Hasan Syed Ali menerima aduan termasuk satu surat layang daripada kakitangan Petronas yang mendakwa berlaku pemberhentian kerja secara mendadak.

Syed Hassan turut menyelar kegagalan kerajaan memantau prestasi dan hala tuju Petronas yang dilihat semakin membimbangkan.

Pada tahun 2024, pendapatan bersih Petronas merosot sebanyak 32 peratus selepas mencatatkan penurunan 21 peratus pada tahun 2023.

Kejatuhan harga minyak, ditambah pula dengan penurunan hasil daripada aset lama Petronas akan menjadi cabaran kepada kerajaan yang menerima 10 peratus daripada hasilnya menerusi Petronas pada tahun 2024.

Syarikat minyak dan gas itu bukan sahaja menjadi tunjang kepada sektor tenaga negara, malah memainkan peranan penting dalam membiayai infrastruktur, pendidikan, dan program sosial melalui dividen dan cukai. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast