KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyeru semua masjid dan surau di Selangor diminta mengadakan solat hajat khas selepas solat fardu Jumaat hari ini dan minggu depan menjelang keputusan Mahkamah Persekutuan membabitkan cabaran Sister In Islam (SIS) Forum Malaysia pada 19 Jun ini.

Pengarahnya, Mohd Shahzihan Ahmad berkata, seruan mengadakan solat hajat itu bagi memohon agar Allah SWT terus memelihara kesucian agama Islam di Selangor dan memberi kebaikan serta pertolongan kepada pihak Mahkamah Persekutuan dalam membuat keputusan.

“Semua masjid dan surau kebenaran solat Jumaat dimohon mengadakan solat sunat hajat memohon Allah terus memelihara kesucian Islam di Selangor, selain memberi kebaikan serta pertolonganNya kepada Mahkamah Persekutuan dalam membuat keputusan mengenai rayuan berkenaan.

“Sebagaimana dititahkan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, semua masjid dan surau dikehendaki menunaikan solat sunat hajat selepas selesai solat Jumaat hari ini dan 13 Jun ini,” katanya.

Seruan itu turut diwar-warkan melalui Facebook JAIS.

SIS Forum Malaysia dan seorang lagi perayu memfailkan semakan kehakiman terhadap jawatankuasa itu, JAIS dan kerajaan negeri yang mempertikaikan keabsahan fatwa yang dikeluarkan pada 17 Julai 2014.

Fatwa itu dicabar di Mahkamah Tinggi pada 2020 dan kemudian dirayu di Mahkamah Rayuan Putrajaya dan majoriti panel menolak rayuan berkenaan pada 14 Mac 2023.

Setelah gagal di Mahkamah Rayuan, SIS Forum Malaysia membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan pada 19 Jun ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast