Penduduk Palestin mengusung mayat mangsa pengeboman Israel di luar Hospital Syahid Al-Aqsa di Deir el-Balah di tengah Semenanjung Gaza pada 27 Julai 2024 di tengah-tengah konflik berterusan antara Israel dan pergerakan Hamas Palestin. Foto AFP

Oleh: Ismail Hashim Yahaya

MUSIM haji dan Aidiladha tiba yang membawa bersama jutaan umat Islam ke Tanah Suci dan jutaan lagi menyembelih haiwan korban di seluruh dunia, termasuk negara kita Malaysia. Ia adalah musim penuh kesyahduan, simbolik dan harapan rohani. Namun ketika saat yang sama, satu lagi simbol sedang terbakar di bumi Gaza — simbol penderitaan, penjajahan dan keheningan dunia Islam.

Daripada pandangan semiotik, setiap ritual dan tindakan sosial adalah tanda yang membawa makna lebih mendalam daripada yang tampak. Haji bukan sekadar ibadah fizikal, ia adalah simbol perpaduan umat, penyerahan mutlak kepada Tuhan dan pembebasan diri dari kepentingan duniawi. Korban pula bukan sekadar sembelihan haiwan tetapi tanda kesediaan mengorbankan apa yang paling disayangi demi kebenaran dan ketundukan kepada Ilahi.

Namun ironinya amat ketara hari ini. Ketika umat Islam menyambut korban dengan kenduri daging dan ibadah, ratusan nyawa di Gaza menjadi korban sebenar kekejaman zionis. Tubuh manusia — bukan haiwan — dilapah, rumah dan masjid yang dibakar, kanak-kanak yang dibunuh. Mereka adalah korban sebenar, namun tiada solidariti nyata dari dunia Islam yang ampu menghentikan tragedi itu.

Di sinilah kita menyaksikan keretakan besar dalam makna simbolik. Ritual yang sepatutnya menghidupkan semangat pengorbanan dan perpaduan, kini menjadi rutin
tanpa roh. Tidak keterlaluan jika dikatakan haji sekadar memenuhi rukun amalan ritual yang hilang makna. Korban menjadi budaya kenduri. Sedangkan Gaza menjadi “korban” dunia moden — di mana simbol solidariti umat Islam hanya tinggal retorik bukan tindakan.

Dalam logik semiotik kuasa, genosid di Gaza adalah tanda dominasi mutlak kuasa kolonial moden. Setiap peluru, setiap mayat adalah mesej: “Kami berkuasa dan dunia tidak mampu melawan”.

Dunia Islam pula dengan segala simbol kesucian dan ibadah, tampak tidak berdaya melakukan apa bagi menghentikan genosid dan ancaman kebuluran ke atas penduduk Palestin. Kesucian haji tidak menyelamatkan kesucian nyawa. Makna korban tidak hadir dalam pengorbanan kolektif membela yang dizalimi.

Apakah ertinya menyembelih haiwan sebagai simbol penyerahan kepada Tuhan, jika kita membisu melihat penyembelihan manusia? Di sinilah umat perlu menilai semula
makna ritual mereka. Korban sejati bukan hanya pada haiwan tetapi pada ego, kepentingan nasional, ekonomi, dan politik — yang menghalang kita membela Gaza.

Tiba masanya haji dan korban dilihat bukan sebagai acara atau kenduri tetapi sebagai gerakan, sebagai tanda solidariti sebenar yang bukan ilusi. Jika tidak, kita sekadar menyambut ibadah besar sambil menyaksikan kezaliman besar.

Dan saat itu, simbol-simbol agung kita telah kehilangan maknadi mana laungan takbir sekadar bergema tetapi tidak bergema mencetuskan kesedaran berjuang membebaskan Gaza daripada penjajahan dan genosid Israel dan barat.

Penulis adalah pemerhati geopolitik dan hubungan antarabangsa

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast