Keadaan Perodua Bezza yang terlibat dalam nahas jalan raya di Kilometer 7, Jalan Jerantut-Maran, Pahang, awal pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Seorang pemandu dan empat penumpang sebuah kereta maut selepas terlibat dalam nahas jalan raya di Kilometer 7, Jalan Jerantut-Maran, Pahang, awal pagi tadi.

Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Jerantut berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada jam12.40 pagi, melibatkan dua buah kenderaan, Toyota Alphard dan Perodua Bezza.

Siasatan awal mendapati kejadian berlaku semasa Toyota Alphard yang membawa tiga penumpang dalam arah dari Maran ke bandar Jerantut.

Anggota bomba mengeluarkan mangsa nahas jalan raya di Kilometer 7, Jalan Jerantut-Maran, Pahang, awal pagi tadi.

Semasa kenderaan ini bergerak lurus, tiba-tiba Perodua Bezza membuat pusingan U di persimpangan secara mengejut dan berlaku perlanggaran antara kedua-dua kenderaan.

“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku di atas kecuaian pemandu kereta yang cuai ketika keluar simpang sehingga menyebabkan kemalangan ini berlaku,” katanya dalam kenyataan di sini.

Kemalangan itu mengakibatkan kesemua penumpang dalam kereta berkenaan meninggal dunia di tempat kejadian.

Anggota bomba mengeluarkan mangsa nahas dari sebuah kereta yang remuk selepas terlibat dalam nahas jalan raya di Kilometer 7, Jalan Jerantut-Maran, Pahang, awal pagi tadi.

Mangsa-mangsa yang maut disahkan sebagai Mohad Ikmal Ishak, 26; Nur Arfiqah Aziz Jaafar, 23; Mohammad Zulkifli Aziz Jaafar, 21; Mohamad Azizul Hakimi Aziz Jaaafar, 19 dan Nurul Hazwani Aziz Jaafar, 17.

Kesemua mereka ini beralamat dari Batu 14 1/2 Jalan Chu Kelit Kampung Teluk Balong, Bota, Perak.

BSPT Jerantut memberitahu, bedah siasat ke atas semua mangsa akan dijalankan pada jam 8 pagi ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu BSPT menambah, saksi ditempat kejadian akan dipanggil bagi dirakam percakapan untuk membantu siasatan lanjut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast