LONDON – Bekas penyerang Liverpool, Sadio Mane menjadi sebahagian daripada dua juta umat Islam yang menyahut panggilan haji di Mekah ketika ini, lapor Daily Mail.
Media tersebut berkata, nama penyerang Senegal itu tidak tersenarai dalam skuad yang akan menghadapi Ireland dan England pada 7 dan 11 Jun.
Ini membuatkan ramai penyokong tertanya-tanya kenapa Mane tidak terpilih dalam senarai kerana sejak beliau membuat penampilan pertama bersama Senegal, Mane tidak pernah menolak panggilan kem kebangsaan.
Apatah lagi, penyerang berusia 33 tahun itu beraksi untuk Al-Nassr untuk aksi terakhir liga pada 26 Mei lalu.
Kini, ketiadaan Mane akhirnya terjawab apabila beliau kini berada di Makkah untuk melaksanakan rukun Islam yang kelima.
Sementara itu, Presiden Persekutuan Bola Sepak Senegal (FSF), Augustin Senghor turut memaklumkan ketiadaan beliau turut mendapat persetujuan daripada jurulatih, Pape Thiaw.
Meskipun sedar ketiadaan Mane sedikit sebanyak menjejaskan kekuatan Senegal, Senghor melihat ini peluang buat pemain lain merebut tempat dalam kesebelasan utama.
“Mungkin ada hikmah tersendiri buat beliau dan kami. Kami mahu melihat beliau pada tahap terbaik untuk cabaran seterusnya.
“Perlawanan-perlawanan ini memberi peluang kepada pemain lain untuk bangkit, membuktikan mereka dapat bermain bersama tonggak-tonggak utama dan membantu pasukan ini berkembang,” katanya seperti dilaporkan FootBoom.
Sejak menyertai Al-Nassr pada musim panas 2023, Mane telah merekodkan 37 gol dan 25 bantuan gol dalam 93 penampilan. – Agensi
















