Salehuddin Saidin

KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menggesa agar mangsa penipuan pakej haji membuat laporan polis dan memberi segala maklumat agar pihak berkuasa dapat mengambil tindakan undang-undang yang tegas dan segera ke atas sindiket serta individu yang terlibat.

Tindakan tegas dengan mengheret mereka ke mahkamah dapat memastikan gejala buruk dan tidak bertanggungjawab ini dapat segera dibenteras bagi menyelamatkan umat Islam dari ditipu.

Pengerusi MAIS, Datuk Salehuddin Saidin berkata, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah menzahirkan kemurkaan dan kebimbangan baginda terhadap peningkatan kes penipuan pakej haji yang melibatkan umat Islam di Malaysia.

Baginda telah menitahkan agar mana-mana individu atau syarikat pelancongan yang menawarkan pakej haji dengan mengambil kesempatan untuk menipu umat Islam diambil tindakan tegas oleh pihak polis dan pihak berkuasa.

Kes penipuan terbaharu yang dilaporkan di media melibatkan lebih 80 bakal jemaah hajiyang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas didapati menggunakan visa pelancong bagi menunaikan ibadah haji di Tanah Suci.

Kes ini dipercayai berpunca daripada pakej haji yang disyaki ditawarkan oleh sindiket tidak bertanggungjawab.

“Kejadian ini amat mengecewakan baginda Tuanku memandangkan terdapat jemaah haji ini yang sanggup berkorban mencari wang dengan menjual aset atau tanah mereka dan ada yang berusaha keras demi mencapai impian menunaikan rukun Islam kelima.

“Namun, mereka akhirnya menjadi mangsa penipuan pihak yang tidak bertanggungjawab dan segala hasrat untuk sampai ke tanah suci mengerjakan ibadah haji musnah begitu sahaja. Lebih menyedihkan apabila pihak yang mengeksploitasi ini adalah dari kalangan umat Islam sendiri yang tergamak menipu saudara seagama demi kepentingan peribadi,” katanya dalam kenyataan di sini.

MAIS menyarankan umat Islam untuk menyemak latar belakang serta kelulusan penyedia perkhidmatan ibadah haji melalui mendapatkan pengesahan status agensi melalui semakan senarai Pengelola Jemaah Haji (PJH) berlesen di laman rasmi Lembaga Tabung Haji (LTH); berhati-hati terhadap tawaran pakej haji yang terlalu murah atau percuma kerana ini biasanya merupakan modus operandi penipuan; dan melaporkan segera sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

Salehuddin juga menyeru orang ramai sentiasa memelihara kesucian ibadah haji dengan memastikan setiap urusan dijalankan dengan ejen dan syarikat yang berlesen serta diiktiraf oleh pihak berkuasa untuk mengendalikan urusan haji dan umrah.

Selain itu, umat Islam yang berhasrat menunaikan haji agar sentiasa mendapatkan maklumat melalui saluran rasmi bagi memastikan ibadah haji berjalan lancar, serta terjamin keselamatannya. – MalaysiaGazette

 

Sultan Selangor kecewa penipuan pakej haji libat umat Islam meningkat

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast