KUALA LUMPUR – Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah bangkit daripada kekalahan set pertama untuk mara ke final Terbuka Indonesia 2025 selepas menundukkan pasangan China, Li Yi Jing-Luo Xu Min hari ini.
Dalam aksi separuh akhir yang berlangsung di Istora Senayan itu, pasangan nombor empat dunia itu berjuang habis-habisan sebelum mencatat kemenangan 12-21, 21-17, 21-11 dalam tempoh 64 minit.
Kejayaan Pearly-Thinaah itu membolehkan mereka melunaskan dendam ke atas pasangan ranking keenam dunia itu yang menewaskan mereka di Terbuka China tahun lalu di mana menjadi final ketiga musim ini buat mereka.
Sebelum ini, pasangan itu muncul naib juara Masters Indonesia pada Januari lalu dan menjuarai Terbuka Thailand bulan lalu.
Mereka kini berpeluang untuk mencipta sejarah sebagai beregu wanita pertama Malaysia memenangi kejuaraan di Terbuka Indonesia sejak kali terakhir dikecapi oleh Chin Ee Hui-Wong Pei Tty pada 2009.
Di final esok, Pearly-Thinaah akan berdepan cabaran getir sama ada pilihan pertama kejohanan dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning atau gandingan Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee. – MalaysiaGazette















