Ramakrishnan mendakwa tiada ujian Covid-19 atau influenza disediakan di bahagian kecemasan hospital berkenaan terhadap itu mentuanya.

KOTA TINGGI – Seorang usahawan kecewa dengan pengalamannya ketika membawa ibu mentuanya yang berusia 81 tahun ke Unit Kecemasan Hospital Kerajaan Kota Tinggi, Johor baru-baru ini.

Bercakap kepada MalaysiaGazette, Ramakrishnan Nair mendakwa pengalaman tersebut  amat memalukan dan mencerminkan kelemahan sistem kesihatan awam di negara ini.

“Sebagai seorang usahawan yang sering ke luar negara, setiap negara yang saya lawati, saya bangga memperkenalkan Malaysia sebagai negara maju, harmoni dan bertaraf dunia tetapi hari ini, saya amat malu dan kecewa,” katanya.

Dakwa Ramakrishnan, tiada ujian Covid-19 atau influenza disediakan di bahagian kecemasan hospital berkenaan dan menganggap ia satu perkara yang mengejutkan dalam dunia perubatan moden hari ini.

Lebih mengecewakan, pihak hospital swasta yang ingin menerima pemindahan pesakit gagal menghubungi bahagian kecemasan di hospital berkenaan walaupun telah membuat lebih daripada 10 panggilan, dakwanya.

Akhirnya, beliau terpaksa meminta bantuan ahli keluarga yang bekerja di hospital tersebut untuk menyampaikan mesej secara langsung kepada doktor.

“Jawapan yang diterima ialah ‘Sekarang waktu solat, sebab itu tiada siapa jawab’. Saya tidak salahkan individu yang menunaikan solat, saya amat hormati waktu ibadah tetapi ini adalah hospital kerajaan.

“Sepatutnya ada sistem pengurusan kerja yang tersusun merangkumi semua kaum dan kepercayaan, agar tiada gangguan perkhidmatan terutamanya dalam situasi kritikal seperti di unit kecemasan,” tegas Ramakrishnan.

Ramakrishnan Nair

Beliau turut menyuarakan isu itu bukan soal individu tetapi kegagalan sistem serta kelemahan dalam pengurusan hospital dan kementerian.

“Masalah ini bukan tentang doktor tapi kelemahan sistem dan kegagalan pengurusan hospital serta Kementerian Kesihatan (KKM),” ujarnya.

Justeru beliau menyeru agar satu reformasi menyeluruh dilakukan terhadap sistem kesihatan awam negara.

“Sudah tiba masanya kerajaan melakukan reformasi menyeluruh terhadap sistem hospital awam. Rakyat tidak tuntut layanan VVIP, tapi kami mahu sistem yang cekap, berfungsi dan menghormati setiap nyawa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast