KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menceritakan perasan cemas apabila pesawat AirAsia yang dinaiki malam tadi gagal mendarat dan terpaksa berlegar-legar di ruang udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akibat cuaca buruk.
Sambil berkongsi pengalaman peribadinya, beliau berkata, penerbangan dari Johor Bahru, Johor ke Kuala Lumpur terpaksa mengambil masa selama empat jam, walhal beliau sepatutnya tiba dalam tempoh 50 minit.
Menceritakan kejadian itu, Anthony berkata, beliau menaiki penerbangan AirAsia, AK6047 pukul 10.45 malam untuk pulang ke ibu negara selepas menghadiri majlis makan malam kutipan dana DAP Johor.
Ujar beliau, keadaan pada asalnya normal dan berjalan lancar sebelum pesawat melalui awam tebal dan ribut petir pada peringkat penurunan.
Kata Anthony, beliau dimaklumkan, pesawat terpaksa berpusing di ruang udara KLIA selepas cubaan mendarat gagal ekoran angin lintang kuat serta ribut petir.
“Ketika kami menghampiri landasan, angin lintang yang kuat dan ribut kencang memaksa juruterbang membatalkan pendaratan.
“Kami berpusing di ruang udara KLIA dan akhirnya pesawat terpaksa dilencongkan ke Pulau Pinang untuk mengisi minyak,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau dimaklumkan, sekurang-kurangnya lima penerbangan AirAsia terpaksa dilencongkan ekoran cuaca buruk malam tadi mengakibatkan penumpang lewat tiba ke destinasi.

Bagaimanapun, Anthony memuji tindakan pantas dan profesionalisme tinggi yang ditunjukkan oleh Kapten pesawat itu, Teng Huah Jer dan Pembantu Pertama Bryan Alexander Yin Kian Yam dalam mengendalikan situasi berkenaan.
“Kapten mengendalikan situasi dengan sangat baik melalui komunikasi yang tenang dan sentiasa memberikan maklumat terkini kepada penumpang. Ini memainkan peranan penting dalam menenangkan semua orang dalam situasi sedemikian,” katanya.

Anthony turut merakamkan penghargaan kepada kru kabin yang diketuai Muhammad Asyraf Muhammad Nasrullah bersama Mandasari Nikita Florensia, Bagus Setyadi Nugroho dan Norjuniza Muhammad atas sikap profesional dan empati tinggi yang ditunjukkan sepanjang insiden berlaku.
“Walaupun mereka terpaksa bekerja lebih masa, kru tetap senyum dan meminta maaf kepada setiap penumpang atas segala kesulitan. Mereka adalah contoh terbaik kru penerbangan.
“Terima kasih diucapkan kepada petugas darat, pengawal trafik udara dan ramai lagi kakitangan sokongan iaitu wira-wira yang tidak didendang, dari Senai, Pulau Pinang hingga ke KLIA atas tindakan pantas dan koordinasi yang membawa kami pulang dengan selamat,” katanya.
Katanya, pesawat akhirnya mendarat selamat di KLIA pada jam 2.40 pagi dan sebagai tanda sokongan moral dan penghargaan kepada kru penerbangan, beliau menunggu semua penumpang turun dahulu sebelum meninggalkan pesawat. – MalaysiaGazette














