KUALA LUMPUR – “Rakyat tak patut takut pada kerajaan, kerajaan yang patut takut pada rakyat.
“Korang (kerajaan) selalu suruh aku ‘gunakan saluran yang betul’, kan? Okay, kita jumpa di mahkamah.
Itu kenyataan terbaharu aktivis dan artis grafik, Fahmi Reza berkitan penjelasan terkini polis mengenai sekatan pergerakan terhadapnya ke luar negara.
“Kalau rakyat buat salah, korang tak tunggu lama untuk heret kami ke mahkamah. Kali ni, giliran rakyat pula untuk heret pihak berkuasa ke mahkamah. Kerajaan dan pihak berkuasa bukan kebal. Rakyat patut berani melawan,” katanya.
Fahmi menyifatkan tidak ada mana-mana pihak di pihak kerajaan yang berani bertanggungjawab atas tindakan sekatan pergerakan terhadapnya, semalam.
Beliau berkata, sebagai rakyat biasa tindakan berkenaan sudah pun merugikan masa dan duitnya namun malangnya tiada mana-mana pihak yang berani mengaku melakukan kesilapan.
“Dear Kerajaan Madani, Aku dah baca jawapan Anwar Ibrahim yang tuding jari pada polis, dan kenyataan polis yang tuding jari pula pada imigresen, kononnya “tiada sebarang sekatan rasmi” dari kerajaan, dan berlaku “kekeliruan semasa proses semakan di pintu keluar negara”.
“Nak tahu apa yang aku tak nampak? Aku tak nampak mana-mana pihak kerajaan yang berani ambik tanggung jawab atas kesilapan korang yang menyebabkan hak kebebasan bergerak aku disekat.
“Korang senang je cakap “tiada sekatan rasmi”. Tapi realitinya, aku tetap kena sekat semalam. Aku tetap tak dapat ke luar negara. Aku tetap dinafikan hak aku sebagai rakyat.
“Aku hanya rakyat biasa. Korang dah sekat, susahkan, dan rugikan masa dan duit aku, tapi kemudian cuci tangan, tak nak mengaku salah,” tambahnya.
Kenyataan berkenaan dikeluaran berikutan kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain bahawa tiada sekatan terhadap aktivis tersebut sebaliknya berlaku kekeliruan semasa proses semakan di pintu keluar negara.
Sebelum itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay menyemak isu larangan keluar negara yang dikenakan terhadap aktivis itu.
Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO), Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu memberi penjelasan lanjut mengenai perkara itu. – MalaysiaGazette
















