Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR, 9 Jun (Bernama) — Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya mengalami kelewatan jadual berikutan gangguan suis landasan di antara Stesen Pasar Seni dan Stesen Bangsar yang berlaku awal pagi ini.

Rapid Rail Sdn Bhd dalam kenyataan memaklumkan gangguan itu, dikesan pada kira-kira 5.30 pagi dan menyebabkan tren dari Pasar Seni ke Bangsar menghala ke Putra Heights terpaksa dipandu secara manual.

“Langkah ini diambil demi memastikan keselamatan penumpang, namun ia menyebabkan pergerakan tren menjadi lebih perlahan di antara dua stesen berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Pasukan kejuruteraan Rapid Rail kini berada di lokasi bagi menjalankan kerja-kerja pembaikan dan memulihkan operasi secepat mungkin.

Bagi memastikan keselamatan dan kelancaran pergerakan penumpang, anggota polis bantuan serta petugas stesen telah ditempatkan di platform dan ruang legar stesen, untuk memberikan bantuan sewajarnya.

“Pengumuman berkala mengenai jadual perjalanan tren turut dibuat di stesen dan penumpang dinasihatkan untuk merujuk laman media sosial Rapid KL bagi mendapatkan maklumat terkini,” kata Rapid Rail.

Rapid Rail turut memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami dan menghargai kesabaran serta kerjasama semua pengguna. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast