Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew.

KUALA LUMPUR – Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada syarikat pengendali bas terlibat dalam nahas meragut 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang melaksanakan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA) ke atas bas serta syarikat terbabit mengikut peruntukan Akta Pengangkutan Jalan (Akta 333) dan Akta Pengangkutan Awam Darat (Akta 715).

“Tindakan tegas akan diambil sejurus siasatan selesai,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Anthony, kerajaan tidak akan berhenti dalam usaha memperkukuh dasar keselamatan jalan raya.

“Kami komited melindungi pengguna jalan raya terutamanya daripada ancaman pemandu tidak bertanggungjawab serta kenderaan berat yang tidak memenuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan,” katanya.

Antara dasar yang sedang dirangka termasuklah pelaksanaan wajib Speed Limiter bagi kenderaan berat. Polisi ini sedang diteliti secara menyeluruh termasuk menutup sebarang ruang manipulasi selepas ia dikuatkuasakan kelak.

“Saya turut mengambil maklum tindakan segera yang diambil oleh Kementerian Pendidikan Tinggi dan pengurusan UPSI dalam menyantuni keluarga mangsa. Kejadian ini harus menjadi peringatan kepada semua pihak—kerajaan, pengendali dan masyarakat—bahawa tiada kompromi dalam soal keselamatan nyawa,” tegasnya.

Terdahulu beliau sedih dan terkesan menerima berita nahas tragis yang meragut 15 nyawa pelajar UPSI di Lebuhraya Timur–Barat, Gerik, Perak awal pagi ini.

“Setiap nyawa yang terkorban adalah satu kehilangan besar bukan sahaja kepada keluarga tetapi kepada masa depan negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast