KUALA LUMPUR – Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow menegur Exco Perumahan Negeri Pulau Pinang, S. Sundarajoo kerana telah melangkaui prosedur yang sepatutnya dan bertindak secara tidak bertanggungjawab dalam hal yang melibatkan dasar awam.
Pengerusi Parti Urimai, P. Ramasamy berkata, beliau terkejut apabila Sundarajoo, mengumumkan diskaun 5.0 peratus untuk komuniti India Muslim di bawah skim perumahan Madani tanpa rundingan yang jelas dengan Exco.
Katanya, beliau tertanya-tanya bagaimana Kerajaan Negeri Pulau Pinang boleh membenarkan seorang ahli Exco membuat pengumuman dasar secara sepihak tanpa kelulusan atau sokongan daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).
Menurutnya, walaupun Sundarajoo memberi justifikasi bahawa keputusan itu dibuat kerana penyertaan rendah dalam kalangan India Muslim dalam skim perumahan negeri tetapi bolehkah beliau membentangkan data yang menyokong dakwaan tersebut.
“Apakah kadar penyertaan bagi Melayu, Cina, India dan India Muslim?
“Beliau juga menyatakan diskaun ini tidak akan menjejaskan peruntukan untuk kaum Melayu, seolah-olah mengabaikan kerumitan identiti, di mana sebahagian India Muslim diklasifikasikan sebagai Melayu/Bumiputera, manakala yang lain mengekalkan identiti etnik mereka yang berasingan.
“Adakah terdapat sebarang kajian yang mengira peratusan India Muslim yang layak sebagai bumiputera berbanding mereka yang dikenal pasti secara berasingan?,” soalna.
Ramasamy berkata, tanpa data sedemikian, sukar untuk mempertahankan keputusan dasar yang boleh menyebabkan segelintir kumpulan mendapat manfaat dua kali, sekali gus menimbulkan persoalan tentang keadilan dan kesaksamaan.
Menurut beliau, skiranya cadangan ini dibentangkan dalam mesyuarat Exco, kelemahan-kelemahan ini boleh dibahaskan dan mungkin dielakkan.
Tetapi sebaliknya, Sundarajoo bertindak berdasarkan rundingan dengan pemaju, bukan kerajaan negeri sekali gus menimbulkan keraguan terhadap integriti kerangka dasar perumahan Pulau Pinang.
“Ini adalah satu keputusan yang lemah, dibuat tanpa ketelusan dan tanpa mempertimbangkan komuniti lain yang juga layak menerima manfaat.
“Dasar ini tidak mempunyai asas yang kukuh dan telah menjejaskan keyakinan rakyat,” katanya sambil memuji Ketua Menteri Chow Kon Yeow kerana campur tangan untuk membatalkan keputusan tersebut dan memperluaskan diskaun kepada semua rakyat Malaysia yang layak. – MalaysiaGazette















