Universiti Harvard

 

KUALA LUMPUR – Setakat ini tiada pelajar Malaysia yang dilaporkan mengalami masalah atau isu berkaitan rekod Sistem Pelajar dan Pertukaran Pelawat (SEVIS) dan penarikan semula visa mereka.

Ia susulan perkembangan terbaharu Mahkamah Persekutuan telah memutuskan untuk mengekalkan Perintah Tahanan Sementara (TRO) yang difailkan oleh Universiti Harvard
ini memberikan kelegaan kepada lebih 6,800 pelajar antarabangsa di universiti berkenaan.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berkata, keputusan ini membolehkan pelajar antarabangsa termasuk pelajar Malaysia meneruskan pengajian mereka tanpa gangguan kepada status visa buat masa ini.

Namun, KPT memantau rapat perkembangan tindakan Kerajaan Amerika Syarikat (AS) melalui Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) yang telah membatalkan pensijilan di bawah Program Pelajar dan Pertukaran Pelawat (SEVP) terhadap Universiti Harvard pada 22 Mei 2025.

Menurutnya, pemantauan ini dibuat melalui Pejabat Education Malaysia Washington D.C. (EMWDC).

Sehingga kini, seramai 54 pelajar Malaysia di Universiti Harvard, terdiri daripada 16 pelajar tajaan dan 38 pelajar pembiayaan sendiri.

KPT dan Pejabat EMWDC juga telah berhubung dengan pihak penaja yang berkaitan serta pihak berkuasa pendidikan AS. Kementerian juga menyambut baik komitmen
mereka untuk bekerjasama memastikan kebajikan pelajar Malaysia sentiasa terpelihara.

Pada masa sama, KPT turut mengingatkan para pelajar untuk sentiasa mengemaskini maklumat berkaitan Latihan Praktikal Pilihan (OPT) mereka serta berhati-hati dalam setiap tindakan yang melibatkan urusan imigresen.

Bagi pelajar baharu yang akan melanjutkan pengajian ke Universiti Harvard pada kemasukan September 2025, KPT menyarankan agar mereka berhubung secara langsung dengan pihak universiti dan penaja masing-masing untuk mendapatkan perkembangan terkini sebelum membuat sebarang keputusan lanjut.

KPT menambah, Malaysia percaya bahawa pendidikan tinggi merentas sempadan adalah landasan penting kepada pembangunan bakat global, pertukaran ilmu dan kerjasama strategik antara negara.

Oleh itu, KPT juga menyeru agar semua pihak kekal tenang, bertindak berdasarkan maklumat sahih, dan memberi keutamaan kepada kepentingan pelajar dalam menghadapi isu ini.

Selaras dengan konsep Malaysia Madani, KPT akan terus menyokong pelajar Malaysia di luar negara dalam apa jua keadaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast