PUTRAJAYA– Lebih 190 individu rata-rata dalam kalangan warga Nilai, Seremban dipercayai menjadi mangsa sindiket penipuan haji dan umrah membabitkan kerugian lebih RM2 juta yang menawarkan ‘infaq Haji’ dan penggunaan visa Mujamalah.
Seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Umi Saf, tampil berkongsi pengalaman ngeri apabila dia dan keluarganya kerugian lebih RM300,000 selepas dijanjikan dapat menunaikan ibadah haji dengan kaedah ‘infaq’ oleh pihak tertentu.
Menurutnya, sindiket ini menggunakan alasan terdapat individu ‘kaya’ yang mahu menaja jemaah haji melalui ‘infaq’, namun mangsa tetap diminta membayar yuran pengurusan mencecah puluhan ribu ringgit bagi menguruskan visa dan tiket penerbangan.

“Mereka kata ada orang nak infaq haji, tapi kena bayar caj pengurusan kononnya untuk pelepasan visa. Bila dah bayar, sampai tarikh nak berangkat, tak ada tiket, tak ada visa, semuanya hilang begitu saja,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Tambahnya, sindiket ini turut menyalahgunakan nama visa Mujamalah, iaitu visa khas jemputan Kerajaan Arab Saudi yang lazimnya sukar diperoleh dan tidak dijual secara terbuka kecuali melalui ejen di negara ini.
“Ramai jemaah sangka visa Mujamalah itu mudah didapati kalau ada duit, padahal ia hanya diberikan atas jemputan khas. Mereka dijanjikan visa ini, tetapi akhirnya hanya ke Madinah atau Jeddah, tidak dapat masuk ke Mekah dan langsung tidak menunaikan wukuf. Itu bukan Haji,” katanya.
Fenomena ini turut menjadi kebimbangan pertubuhan bukan kerajaan Mind Pro Management yang kini membantu para mangsa mendapatkan semula wang mereka dan menyalurkan khidmat nasihat perundangan.
Menurut aktivis Mind Pro Management, Safwan Ali, setakat ini pihaknya sudah menerima lebih 190 aduan berkaitan penipuan seumpama ini sejak awal tahun lalu.
“Kami dapati sindiket ini aktif memanipulasi istilah ‘infaq Haji’ dan ‘visa Mujamalah’ sebagai umpan. Mereka menggunakan gelaran seperti Datuk, Tuan Guru, Datuk Seri dan segala bagai untuk meyakinkan mangsa, termasuk mendakwa kenal pegawai tinggi polis.
“Kasihan mangsa-mangsa ini, ramai yang tertipu kerana sindiket ini menggunakan pelbagai jenis helah bagi memperdaya mangsa yang mahu menunaikan haji setelah sekian lama menabung dan menunggu, sebarang janji manis bahawa visa akan diberikan setibanya di Arab Saudi adalah palsu semata-mata,” ujarnya.

Manakala penasihat undang-undang Mind Pro Management, Ena Awil menegaskan bahawa tiada seorang pun daripada wakil sindiket yang tampil berbincang secara rasmi dengan para mangsa.
“Apabila kami dedahkan maklumat, mereka mula ubah naratif. Ada yang sebelum ini mewakili sindiket tiba-tiba mendakwa mereka juga adalah mangsa. Kami hanya mahu mereka tampil dan pulangkan wang jemaah sahaja.
“Ada juga daripada sindiket cuba berhubung dengan beberapa mangsa selepas laporan polis untuk tarik balik laporan, mangsa terbuka untuk berbincang soal bayaran balik secara berjadual, namun bukan atas syarat laporan polis ditarik balik.
“Bukan bayar sikit-sikit kemudian senyap. Kalau hutang RM90,000, bayar RM90,000. Jangan beri RM10,000 kemudian diam. Kita bukan mahu ugut, kita hanya mahu keadilan untuk semua mangsa,” tambahnya.
Dalam pada itu, Ena juga berharap pihak berwajib akan buat yang terbaik bagi membendung sindiket penipuan yang menjadikan ibadah Haji sebagai modal memperdaya umat Islam yang terdesak ingin menunaikan rukun Islam kelima.
“Ramai sangat jemaah kita yang terperangkap di Madinah dan Jeddah ketika ini tidak dapat menunaikan haji mereka, ejen hanya terbangkan mereka namun tidak dapat masuk Mekah,” tegasnya. -MalaysiaGazette
















