ISKANDAR PUTERI – Tular sebuah lori selepas menurunkan muatan tanah melanggar kabel elektrik berhadapan Sekolah Memengah Kebangsaan (SMK) Gelang Patah di Jalan Johor Bahru-Pendas, di sini, hari ini.
Rakaman dua video berdurasi 11 dan lapan saat tular dalam Facebook yang memaparkan pemandu lori tipper berkenaan terlupa untuk menurunkan bucket selepas menurunkan muatan tanah lalu melanggar kabel elektrik.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, kejadian tersebut berlaku pukul 3.20 petang selepas lori terbabit selesai menurunkan muatan tanah di sekitar kawasan Gelang Patah.
“Pemandu berkenaan yang tidak menyedari bucket tidak diturunkan terus memandu lori tersebut dan semasa sampai di lokasi kejadian terus melanggar kabel elektrik sehingga menyebabkan tiga tiang lampu konkrit tumbang,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kemalangan itu tidak menyebabkan sebarang kecederaan dan juga tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Katanya, pemandu lori iaitu lelaki tempatan berusia 69 tahun kemudian tampil membuat laporan polis dan memberi keterangan di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Iskandar Puteri.
Menurutnya, hasil ujian air kencing yang dijalankan ke atas pemandu lori tersebut mendapati negatif daripada dadah.
Tambah Kumarasan, kes disiasat bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.- MalaysiaGazette
















