Mohamad Khairul ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Muar hari ini atas pertuduhan membakar sembilan kenderaan milik arwah isteri dan abang iparnya.

MUAR – Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan khianat membakar sembilan kenderaan milik isteri serta abang iparnya di Tangkak, minggu lalu.

Pertuduhan tersebut dilakukan selepas Mohamad Khairul Azmi Ithnin, 32, dituduh di Mahkamah Majistret Tangkak atas tuduhan membunuh isteri pada sebelah pagi tadi.

Bagi pertuduhan khianat itu, dia hanya mengaku enam daripada sembilan pertuduhan yang dikemukakan jurubahasa di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor.

Tertuduh mengaku bersalah untuk pertuduhan pertama, kelima hingga kesembilan dengan membakar enam buah kenderaan masing-masing dua buah pacuan empat roda dan motosikal selain sebuah kenderaan ulititi sukan (SUV) dan kereta.

Perbuatan itu dilakukan di Kampung Pengkalan Kota, Durian Chondong dan Kebun Durian Kampung Teratai 2, Sagil antara pukul 4.36 hingga 6.46 pagi, 3 Jun lalu.

Bagi pertuduhan kedua hingga keempat, dia mengaku tidak bersalah melakukan khianat membakar dua buah motosikal dan sebuah kereta di Kampung Pengkalan Kota, Durian Chondong pada tarikh dan masa yang sama.

Bagi kesemua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Diyana Najihah Muhamed Fauzi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, pihak pendakwaan memohon mahkamah menetapkan suatu tarikh baharu untuk sebutan semula bagi kesemua pertuduhan dikenakan terhadap tertuduh.

Selain itu, pihak pendakwaan juga memberitahu tiada jaminan ditawarkan memandang tertuduh berhadapan satu pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkmah Majistret Tangkak sebelum prosiding di Mahkamah Sesyen di sini.

Mahkamah kemudian menetapkan 9 Julai ini untuk fakta dan hukuman serta serahan dokumen dan lantikan peguam bagi pertuduhan yang mana tertuduh mengaku tidak bersalah.

Terdahulu tertuduh didakwa di Mahkamah Majistret kerana membunuh isterinya Iecah Junus, 34, dengan mengelar leher menggunakan pisau pemotong sayur.

Namun, tertuduh hanya mengangguk faham terhadap pertuduhan dan tiada pengakuan direkodkan daripadanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast