BENTONG – Polis menafikan dakwaan berlakunya kejadian gangguan seksual oleh individu menjual belon terhadap seorang lelaki di Genting Highlands semalam.
Ketua Polis Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, ia susulan pihaknya sehingga kini masih belum menerima laporan polis berhubung insiden berkenaan.
“Pada 10 Jun 2025, video tersebut tular di sebuah laman sosial mengenai dakwaan berlakunya kejadian gangguan seksual oleh individu yang menjual belon terhadap seorang lelaki di Genting Highlands pada pukul 10.30 malam.
”Sisatan awal pihak polis mendapati tiada sebarang laporan diterima sehingga hari ini mengenai insiden berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Justeru polis memohon pemilik akaun Tik Tok https://vt.tiktok.com/ZSkPo8KH3/ untuk tampil ke Ibu Pejabat Polis Bentong bagi membantu pihak polis menjalankan siasatan ke atas insiden tersebut.
Semakan awal pihak polis bentong terhadap beberapa isi kandungan pemilik Tik Tok tersebut juga mendapati ada beberapa kejadian yang hampir sama beliau menjadi mangsa cubaan perlakuan jenayah di beberapa lokasi lain.
Zaiham memohon kerjasama mana-mana pihak yang mengalami kejadian seperti ini agar menghubungi pihak polis atau hadir di mana-mana balai polis berdekatan dan melaporkan kejadian yang berlaku.
”Orang ramai boleh membuat laporan polis di mana-mana balai polis sekiranya menjadi mangsa perlakuan jenayah supaya pihak polis boleh menjalankan siasatan terperinci,” katanya. – MalaysiaGazette
















