KUALA LUMPUR – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) tidak sesekali berkompromi atau melindungi mana-mana kakitangan yang terlibat semua isu salah laku dan pelanggaran integriti.
Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana kakitangan jika didapati bersalah berdasarkan peruntukan perundangan sedia ada.
Sehubungan itu, AADK sentiasa mengingatkan kepada semua kakitangan untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh berintegriti dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta garis panduan berdasarkan Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS).
Beliau mengulas mengenai hasil siasatan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) yang mendapati beberapa individu positif dadah telah dilepaskan semasa serbuan dijalankan oleh AADK, yang mana perbuatan tersebut merupakan kesalahan di bawah seksyen 221 Kanun Keseksaan.
Malah, beberapa orang pegawai AADK didapati tidak mematuhi prosedur operasi standard AADK yang berkaitan semasa melaksanakan operasi tersebut di Kampung Felda LBJ, Labu, Negeri Sembilan pada 8 Mac 2023
Ruslin menambah, AADK akan terus bekerjasama erat dengan EAIC dalam usaha peningkatan tadbir urus yang baik dalam agensi khususnya yang melibatkan siasatan
terhadap sebarang aduan salah laku dan integriti dalam kalangan kakitangan.- MalaysiaGazette
Ada pegawai AADK lepaskan penagih dadah dalam serbuan di LBJ – EAIC
















