SEBAHAGIAN daripada petugas Hospital Gerik yang bersiap sedia menerima mangsa kemalangan bas melibatkan penuntut UPSI kelmarin. - Foto: FB Hospital Gerik

KUALA LUMPUR – Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Mahathar Abd. Wahab merakamkan jutaan terima kasih kepada semua petugas kesihatan yang telah bertindak pantas, penuh dedikasi dan berkorban masa dalam menangani tragedi nahas bas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang disifatkan amat menyedihkan.

Menurut beliau, kejadian di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik, Perak itu bukan sekadar satu ujian bagi negara, tetapi juga membuktikan kekuatan, ketabahan dan keikhlasan para wira kesihatan negara.

Jelasnya, pada saat genting itu, staf kesihatan Kementerian Kesihatan (KKM) berdiri teguh di barisan hadapan tanpa ragu, tanpa rungutan dan tanpa mengira waktu untuk menyelamatkan nyawa dan meringankan beban mangsa serta keluarga mereka.

Datuk Dr. Mahathar Abd. Wahab

“Kepada Pasukan Hospital Gerik, anda sungguh luar biasa.

“Sebuah hospital daerah dengan kapasiti terhad berjaya mengendalikan 29 mangsa cedera, melakukan bedah siasat dan memberikan sokongan emosi kepada keluarga yang berduka.

“Pengorbanan seluruh staf daripada berjaga hingga larut malam sehingga datang seawal pukul  3 pagi walaupun bukan waktu bertugas adalah contoh sebenar semangat #KamiSediaMembantu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

SEBAHAGIAN daripada petugas Hospital Gerik yang bersiap sedia menerima mangsa kemalangan bas melibatkan penuntut UPSI kelmarin. – Foto: FB Hospital Gerik

Sementara itu, Dr. Mahathar turut menzahirkan penghargaan kepada pasukan Hospital Raja Permaisuri Bainun; Hospital Baling dan Hospital Taiping yang menunjukkan kerjasama padu dalam mengendalikan bedah siasat, rawatan kritikal dan pemindahan mangsa.

Ujarnya, mereka membuktikan sistem kesihatan Malaysia mampu menghadapi situasi kritikal dengan koordinasi yang berkesan dan semangat profesionalisme.

“Staf Pejabat Kesihatan Daerah dan Klinik Kesihatan juga memainkan peranan penting dengan sumbangan dari segi logistik, bantuan psikososial serta pemantauan pascatrauma.

“Walaupun tugas ini mungkin tidak kelihatan, ia sangat bermakna bagi mangsa dan keluarga yang dilanda kesedihan,” katanya.

Tambahnya, seluruh staf KKM yang terlibat termasuk doktor, jururawat dan staf sokongan adalah wira sebenar dan tragedi itu membuktikan semangat pengorbanan dan komitmen mereka tidak pernah luntur.

Dalam kejadian kemalangan ngeri di JRTB, Gerik kelmarin, seramai 15 penuntut UPSI maut selepas bas dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dan terbalik dalam nahas ngeri yang berlaku awal pagi.

Kemalangan itu turut menyebabkan 33 penuntut lain cedera dengan 15 daripada mereka masih menerima rawatan di tiga fasiliti kesihatan iaitu Hospital Taiping (10 orang); Hospital Baling (tiga orang) dan Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh (dua orang). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast