KUALA LUMPUR – Pemilik syarikat bas persiaran yang terlibat dalam kemalangan di Gerik didapati memajak permit pengendalian kepada pihak ketiga dengan bayaran hanya RM500 sebulan, sekali gus melanggar syarat utama yang ditetapkan pihak berkuasa.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook yang memaklumkan perkara itu berkata, siasatan mendapati pemilik syarikat yang beralamat di Kedah telah memajak permit kepada seorang pengendali di Kelantan.
Malah, katanya, pemilik syarikat bas itu juga gagal mengaktifkan Sistem Pengesanan Global (GPS) pada bas berkenaan.
“Ini merupakan dua kesalahan besar pemilikan permit, disalahguna melalui pajakan kepada pihak ketiga, dan kegagalan mengaktifkan GPS semasa operasi.
“Apabila diminta serahkan laporan GPS, mereka gagal berbuat demikian kerana sistem itu tidak pernah diaktifkan,” katanya dalam sidang media hari ini yang turut dihadiri oleh Menteri Komunikasi merangkap jurucakap kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil dan Menteri Kerja Raya (KKR), Datuk Seri Alexander Nantha Linggi hari ini.
Kata Anthony lagi, susulan pelanggaran serius ini, semua permit syarikat terbabit dibatalkan serta-merta.
“Tiada ruang untuk rayuan walaupun boleh membuat rayuan. Pembatalan ini adalah muktamad dan kekal,” tegas beliau. – MalaysiaGazette















