KUALA LUMPUR – Pertikaian antara Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) berhubung hak pengedaran gas di Sarawak yang belum selesai bukan sahaja menjejaskan pendapatan Petronas.
Ia malahan turut memberi kesan kepada keseluruhan industri minyak dan gas di negara ini, kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Katanya, menurut laporan, beberapa syarikat minyak dan gas di negara ini telah mencatatkan penyusutan pendapatan atau kerugian pada suku pertama tahun ini.
Jelas beliau, antara penyebab utamanya adalah pengurangan penggunaan vesel dan kelewatan Petronas memulakan kerja-kerja eksplorasi akibat pertikaian dengan Petros.
“Sekiranya keadaan ini berterusan, bukan sahaja Petronas dan pekerjanya yang berhadapan keadaan yang tidak menentu, malah keseluruhan syarikat dan pekerja yang terlibat dalam industri minyak dan gas negara akan terjejas.
“Pada masa ini terdapat 70,000 pekerja yang terlibat dalam industri perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, sebagai syarikat milik negara yang menyumbang sejumlah dividen yang besar kepada kerajaan dan memainkan peranan penting dalam pembangunan negara, kepentingan Petronas dan pekerjanya mesti sentiasa dilindungi oleh kerajaan.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan kerajaan supaya lebih berhemah dalam menggunakan dana daripada Petronas dalam keadaan hutang negara semakin meningkat dan ekonomi masih lemah sehingga menjejaskan aliran tunai Petronas sendiri.
Menurutnya, dalam keadaan cabaran global dihadapi oleh Petronas yang berpunca daripada kejatuhan harga minyak dunia dan trend peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui, syarikat itu memerlukan pelan jangka panjang untuk memastikan terus lestari dan berdaya saing.
“Justeru, adalah wajar bagi kerajaan untuk membentangkan pelan kelesatarian Petronas dan hala tuju industri minyak dan gas negara dalam kadar segera,” katanya.
Sementara itu, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh turut menyifatkan rancangan pemberhentian 5,000 pekerja Petronas atau 10 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja syarikat minyak dan gas milik negara tersebut adalah suatu perkembangan yang mengejutkan.
Menurut beliau, walaupun kumpulan itu adalah pekerja kontrak, namun mereka sudah lama berkhidmat dengan Petronas dan mempunyai keluarga yang perlu disara.
“Pemberhentian secara beramai-ramai tanpa diberikan peluang latihan tertentu untukmendapatkan pendapatan bagi meneruskan kehidupan mereka adalah tindakan yang tidak berperikemanusiaan,” katanya.
Sehubungan itu, tamnbah Muhyiddin, adalah wajar pemberhentian kakitangan Petronas itu dibuat secara berperingkat selepas mereka dilatih dan kehidupan agak terjamin.
Jelasnya, ia termasuk latihan keusahawanan dan bantuan modal untuk mereka menceburi bidang perniagaan yang sesuai dengan kelayakan dan kemahiran masing-masing.
“Dana-dana yang biasa digunakan untuk membantu usahawan-usahawan Bumiputera seharusnya digunakan untuk menolong mereka berdiri di atas kaki sendiri.
“Kerajaan harus bersama bertanggungjawab menangani isu ini,” katanya. – MalaysiaGazette
















