Foto Facebook Hannah Yeoh.

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh melahirkan rasa bangga dengan kejayaan skuad Harimau Malaya membelasah Vietnam 4-0 pada aksi kedua Kumpulan F kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.

Menerusi hantara di laman Facebook, Hannah berterima kasih kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dianggapnya sebagai pencetus kepada revolusi Harimau Malaya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada ketua jurulatih skuad kebangsaan, Peter Cklamovski selain menghargai sokongan padu yang diberikan seluruh peminat bola sepak tanah air terutama Ultras Malaya.

“Tahniah diucapkan kepada jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski di atas kejayaan menewaskan Vietnam 4-0 dalam aksi kedua Kumpulan F kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

“Ia sekali gus menamatkan penantian 11 tahun (Harimau Malaya tidak menang) ke atas skuad Naga Emas. Gegak gempita Ultras Malaya ditambah lagi sorakan padu 61,512 penyokong menjadi satu memori manis kepada rakyat Malaysia yang meraikan kejayaan ini.

“Terima kasih TMJ (Tunku Mahkota Ismail), terima kasih PMX. Selamanya Harimau Malaya,” tulis Hannah.

Pada aksi itu, pemain warisan baharu, Joao Figueiredo yang juga pemain terbaik perlawanan meledak gol pembukaan pada minit ke-49 sebelum Rodrigo Holgado, La’Vere Corbin Ong dan Dion Cools menambah tiga lagi gol selepas itu.

Kemenangan ke atas Vietnam meletakkan Harimau Malaya di kedudukan teratas Kumpulan F dengan mengumpul enam mata, tiga mata di depan Vietnam dan Laos, manakala Nepal di kedudukan tercorot tanpa sebarang mata. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast