Mohamad Sabu

PUTRAJAYA – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) tidak bergantung kepada hanya satu sumber atau tempat untuk mendapatkan stok bekalan makanan dalam strategi mendepani perubahan cuaca yang ekstrem.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, sebagai contoh dalam jangka panjang, pihaknya turut mendapatkan bekalan beras dari Sabah dan Sarawak sekiranya negeri-negeri pengeluar padi di Semenanjung berdepan bencana alam.

Pendekatan sama turut dilakukan melibatkan negeri-negeri di Pantai Timur; Utara dan Selatan Semenanjung yang mana perubahan cuacanya tidak berlaku serentak.

“Kadang kala berlaku banjir besar di Pantai Timur tapi di Pantai Barat belum khasnya di selatan dan utara Semenanjung, jadi keadaan cuacanya berubah-ubah.

“Sebab itu pihak kementerian sentiasa merangka supaya berlaku kesesuaian tanaman serta pungutan hasil dan sebagainya dengan kita melihat juga kepada perkembangan perubahan cuaca,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Prapelancaran Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) Tahun 2025 di Wisma Tani di sini hari ini.

Mohamad ditanya berkenaan langkah yang diambil KPKM dalam memastikan bekalan makanan tidak terjejas susulan perubahan cuaca ekstrem khususnya panas terik yang melanda negara ketika ini berikutan tempoh Monsun Barat Daya (MBD).

Menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), MBD bermula pada Selasa lalu dan berterusan sehingga September depan susulan tiupan angin yang mula bertiup secara konsisten dari arah barat daya ke rantau negara.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad menambah, KPKM turut mendapatkan nasihat serta pandangan daripada pihak berwajib seperti Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dalam menghindari sebarang bentuk ancaman dalam sektor penternakan, sekali gus memastikan keterjaminan bekalan makanan.

“Tetapi jika ancaman (penyakit) itu di luar kawalan seperti yang berlaku dalam ternakan babi di Sepang dan Kuala Langat yang merebak dengan cepat, maka kita perlu mengambil tindakan pemusnahan.

“Maksudnya langkah-langkah ini sentiasa dipantau dari semasa ke semasa,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast