KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjunjung kasih ke atas Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail atas inisiatif baginda dalam merevolusikan pasukan kebangsaan.
Presiden FAM Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub berkata sentuhan Tunku Ismail mula menampakkan impak positif selepas kejayaan Malaysia membenam Vietnam 4-0 dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional, Bukit Jalil Selasa lepas.
“Bagi mewakili Jawatankuasa Eksekutif FAM, saya ingin mengucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tunku Mahkota Ismail atas inisiatif dan komitmen baginda dalam merevolusikan pasukan Harimau Malaya.
Terdahulu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM Kali Ketiga Bagi Penggal 2025-2029 yang diadakan di Wisma FAM, Kelana Jaya.
Dalam pada itu, Mohd Joehari turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pihak kerajaan atas bantuan khususnya dari segi kewangan bagi memperkasakan pasukan kebangsaan.
“Peruntukan daripada kerajaan Malaysia ini pastinya akan meningkatkan lagi motivasi buat para pemain pasukan kebangsaan bagi mencapai lebih banyak kejayaan pada masa hadapan.
“Sekali lagi saya mewakili Jawatankuasa Eksekutif FAM ingin mengucapkan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri atas sokongan penuh beliau buat pasukan Harimau Malaya,” katanya. – BERNAMA















