Zainuddin.

GEORGE TOWN – Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kepala Batas, Zainuddin Mohamed menyifatkan dakwaan kononnya Nurul Izzah Anwar menggunakan jet peribadi dan kemudahan mewah dalam mengerjakan haji bersama suaminya sebagai satu tuduhan liar dan berniat jahat.

Zainuddin berkata, tuduhan itu jelas bermotif politik murahan dan merupakan satu usaha terdesak untuk mencemarkan imej Nuruh Izzah sebagai seorang pemimpin muda yang berprinsip, berintegriti serta hidup bersederhana.

Katanya, tindakan menabur fitnah berhubung ibadah suci seperti haji adalah sangat tidak bertanggungjawab dan tidak wajar dijadikan modal politik.

“Nurul Izzah telah membuat penjelasan rasmi menerusi laman Facebook peribadinya pada 8 Jun lalu, di mana beliau menegaskan bahawa segala kos menunaikan haji ditanggung sepenuhnya menggunakan simpanan peribadi, melalui agensi pelancongan berlesen, dan visa mujamalah yang sah.

“Nurul Izzah turut memaklumkan bahawa beliau dan suami menggunakan penerbangan komersial biasa, bukannya jet peribadi seperti yang didakwa sesetengah pihak,” katanya dalam satu kenyataan media di sini.

Sehubungan itu, Zainuddin menuntut agar semua pihak yang telah menyebarkan maklumat palsu tersebut agar segera menarik balik dakwaan, memadamkan kandungan berkaitan serta memohon maaf secara terbuka.

“Kami tidak akan berdiam diri. Jika fitnah ini terus disebarkan, kami tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan polis terhadap mana-mana individu atau pihak terbabit.

“Saya juga menyeru rakyat agar tidak mudah terpengaruh dengan politik kebencian yang hanya bersandarkan kepada pembohongan tanpa asas.

“Politik yang matang memerlukan hujah, fakta dan adab. Bukan fitnah dan kebencian,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast