KUALA LUMPUR – Semua pihak diingatkan mengelak daripada memberi kenyataan terbuka di media sosial berhubung kejadian nahas melibatkan bas ekspres yang mengorban 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini.
Peguam kanan, Muhammad Hasif Hasan berkata, korum paling tepat bagi membicarakan kejadian kemalangan itu adalah mahkamah, bukannya di laman sosial.
Beliau berpandangan, apabila keterangan penumpang telah disiarkan media dengan ada yang menyatakan bas dipandu laju dan memotong di dua garisan berkembar dan sebagainya, manakala pengusaha bas turut menyatakan bas diselenggara dengan baik, maka ada dalam kalangan orang ramai telah menghukum pemandu bas berkenaan.

“Naratif yang dibawa ialah pemandu memandu laju dan (jadi) punca kemalangan.
“Saya percaya apabila naratif ini dibuat maka pemandu bas pula ada hak untuk mengatakan sesuatu dan kenapa dia berbuat demikian.
“Maka pemandu mengatakan bas mengalami masalah brek dan bas melaju tanpa dapat dikawal.
“Adakah fakta ini sebenarnya berlaku? Saya tidak tahu. Kerana itu saya percayakan mahkamah bicara bagi mencari kebenaran.
“Tambahan pula ada dikalangan penumpang seolah mengiakan apa yang diberitahu oleh pemandu bas,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau malam tadi.
Sementara itu, Muhammad Hasif berkata, beliau juga percaya nasihat polis kepada pemandu bas supaya tidak membuat kenyataan turut terpakai kepada semua termasuk penumpang bas.
Jelas beliau, dalam prinsip undang-undang, keadilan adalah terpakai terhadap semua sama ada kepada pemandu bas atau mangsa kemalangan.
“Di sini (media sosial), kita adalah pendakwaraya dan kita juga adalah hakim yang menjatuhkan hukuman.
“Di mahkamah nanti bukan setakat keterangan saksi-saksi penumpang bas malah saksi-saksi kenderaan lain yang ada di tempat kemalangan, yang merakam kemalangan dan pemandu bas akan dipanggil untuk memberi keterangan.
“Pakar dari Puspakom dan forensik yang memeriksa bas akan dipanggil memberi keterangan terutama melibatkan isu sama ada brek bas berfungsi dengan baik atau sebaliknya,” katanya.
Sehubungan itu, tambah Muhammad Hasif, beliau berpandangan adalah lebih baik semua pihak menunggu perbicaraan kes tersebut di mahkamah yang mana orang ramai boleh mengikuti perbicaraannya dan mendengar keterangan dan bukti yang ada.
“Akhir sekali Tuan Majistret yang bijaksana akan membuat keputusan dengan adil dan saksama,” katanya.
Dalam kejadian kemalangan ngeri di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik, Perak awal pagi Isnin lalu, seramai 15 penuntut UPSI maut selepas bas dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dan terbalik. – MalaysiaGazette
















