Penduduk Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang menunjukkan salinan SD yang ditandatangani bagi membantah pelantikan ketua kampung yang baharu.

PASIR GUDANG – Penduduk Kampung Pasir Putih dan lapan rangkaiannya di sini menolak pelantikan ketua Kampung Pasir Putih yang baharu bagi penggal 2025/2026 kerana didakwa tidak berkaliber untuk memegang jawatan itu.

Wakil penduduk, Nadimon Pungun, 66, mendakwa, calon ketua kampung itu sepatutnya menepati beberapa ciri yang asas bagi melayakkannya memegang jawatan tersebut.

“Calon mestilah berbudi pekerti mulia, berkebolehan menulis dan membaca jawi dengan lancar. Kita tidak mahu calon yang gagal mengambil tindakan jika berlaku sesuatu musibah.

“Terutama jika banjir berlaku di Kampung Pasir Putih dan rangkaiannya. Calon itu tidak membantu sebelum ini,” katanya dalam sidang media bersama-sama penduduk di kampung berkenaan hari ini.

Dia mendakwa, penduduk kecewa apabila ketua kampung baharu dilantik sedangkan sebelum ini tidak berdamping dengan masyarakat setempat tidak seperti ketua kampung sebelum ini yang sangat efisien.

Nadimon berkata, kira-kira 15,000 penduduk kampung itu terdiri daripada nelayan, pekerja kebun dan peniaga mahukan pemimpin yang boleh berkhidmat dengan baik.

“Kampung ini sudah berusia lebih 100 tahun dan ini pelantikan ketua kampung bagi kali ketujuh dan sebelum ini penduduk akur sahaja dengan pelantikan dibuat,” katanya.

Wakil masyarakat Melayu dan Orang Asli dari Kampung Teluk Kabong, Indara Syahril Seyes, 50, berharap keputusan pemilihan ketua kampung itu perlu dikaji semula.

Dia yang bekerja sendiri berkata, penduduk sudah memiliki calon lain untuk diketengahkan sebagai ketua kampung yang baharu dan dirasakan lebih layak.

“Calon ketua kampung yang kami mahukan adalah invididu yang memangku jawatan ketua kampung keenam sebelum ini selepas tidak dapat berkhidmat kerana masalah kesihatan.

“Individu berusia awal 40-an ini yang memangku ketua kampung untuk tempoh enam bulan melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan sepanjang tempoh enam bulan itu.

“Dia terlibat dalam banyak program setempat dan semasa berlaku ribut yang merosakkan rumah penduduk, nasib mangsa terbela dan bantuan dapat diterima awal,” katanya.

Wakil golongan wanita Kampung Pasir Putih, Kamariah Mohamed, 69, pula berkata, ketua kampung baharu itu yang akan mengangkat sumpah esok mempunyai asas untuk ditolak selain mahukan pelantikan yang telus.

“Dia dilihat tidak serasi dan kurang bercampur dengan masyarakat. Kami tak nampak hubungan dia dengan masyarakat setempat termasuk aktiviti melibatkan wanita atau program bersihkan kubur dan sebagainya,” katanya.

Sementara wakil pemuda kampung itu, Md Zakaria Md Yunos, 47, berkata, lebih 500 penduduk sudah menandatangani surat bantahan (SD) pelantikan itu sejak empat hari lalu.

Jelasnya, SD tersebut dalam masa beberapa hari lagi akan diserahkan ke Pejabat Menteri W Besar Johor, Pejabat Daerah, Penghulu Mukim Plentong dan Pemangku Sultan Johor.

“Kita juga bimbang sekiranya ketua kampung itu dilantik juga akan menjejaskan keharmonian dan penduduk tidak akan beri kerjasama,” ujarnya yang menjalankan perniagaan di kampung itu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. org kuat yb.. angkat sumpah masa kat masjid pun tergagap.. tgk je jln kat kawasan perindustrian tanjung langsat dah blh buat kolam mancing..

Comments are closed.