Lelaki Nepal maut selepas basikal ditunggang bergesel dengan sebuah kenderaan di Jalan Kampung Raja, Jorak, Bukit Pasir, Muar malam tadi.

MUAR – Seorang lelaki warga Nepal maut selepas basikal ditunggang bergesel dengan sebuah kenderaan di Jalan Kampung Raja, Jorak, Bukit Pasir di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, pihaknya dimaklumkan kejadian tersebut oleh orang awam pada pukul 8.30 malam.

“Kejadian dipercayai berlaku ketika penunggang basikal yang merupakan warga Nepal berusia 53 tahun dalam perjalanan dari Parit Lanjut ke Jalan Kampung Raja.

“Apabila tiba di tempat kejadian telah bergesel dengan sebuah kenderaan yang tidak pasti datang dari arah belakang dan menyebabkannya terjatuh,” katanya dalam kenyataan.

Akibatnya kata beliau, penunggang basikal mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta bahagian dalaman badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Jika sabit kesalahan ujarnya, boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan denda maksimum sehingga RM50,000.

Beliau meminta orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu agar menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Khairun Izham Noor Yusry 013-9121509 atau mana-mana balai polis berdekatan untuk membantu siasatan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast